Berita

Budaya 1MDB: Ikut arahan atau berhenti – Kata bekas CEO

- Diterbit 8 Februari 2021 1:25 PM MYT

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa budaya kerja di syarikat tersebut adalah perlu mengikut arahan atau berhenti kerja.

Perkara ini didedahkan oleh saksi pendakwaan ke-10, Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wan Aizuddin menyoal saksi mengenai e-mel mengandungi arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low berhubung pemerolehan dua pengeluar tenaga bebas iaitu Genting Sanyen dan Tanjong Energy, yang menjadi perhatian utama pembangkang pada 2013.

Menurut penyataan saksi, arahan Jho Low adalah untuk pengurusan 1MDB menambah jawapan kepada soalan berkaitan pengambilalihan yang dikemukakan oleh pembangkang untuk menjadikannya kelihatan lebih meyakinkan.

Bagaimanapun, bekas CEO itu dalam kenyataannya berkata beliau tidak berani membangkitkan kebenaran kerana takut akan menjejaskan kerjaya dalam 1MDB.

Wan Aizuddin: Setelah mengatakan anda takut untuk kerjaya anda dalam 1MDB, pernahkah anda membangkitkan kebimbangan ini kepada Jho Low?

Mohd Hazem: Ya, dalam perbualan melalui sistem pesanan Blackberry.

Wan Aizuddin: Boleh anda memperjelaskan apa sebenarnya yang anda maksudkan dalam pernyataan saksi anda?

Mohd Hazem: Biarpun apa pandangan anda, pemerolehan itu agak mahal. Semua ini adalah soalan yang dibangkitkan oleh orang awam khususnya  pembangkang pada masa itu. Anda perlu mematuhi, anda perlu memberi respons yang boleh diterima oleh orang awam dan ia bukan realitinya.

Wan Aizuddin: Bagaimanakah respons anda akan menjejaskan kerjaya anda dalam 1MDB?

Mohd Hazem: Saya mesti ikut bersama, jika saya beri pandangan peribadi maka saya dianggap tidak bersama dengan 1MDB. Saya takut bahawa ia boleh menjejaskan kerjaya saya dalam 1MDB.

Wan Aizuddin: Apa maksud anda dengan 1MDB?

Mohd Hazem: 1MDB, maksud saya Jho Low dan yang lain.

Mohd Hazem berkata beliau tidak membantah arahan dalam e-mel itu kerana “Jho Low menguruskan syarikat itu”.

Wan Aizuddin: Jadi anda tidak mahu menyinggung perasaan Jho Low?

Mohd Hazem: Bukannya saya tidak mahu menyinggung perasaan tetapi jika saya membantah, itu akan menjejaskan kerjaya saya.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa walaupun kebimbangan itu, beliau masih dinaikkan pangkat ke jawatan utama 1MDB.

Mohd Hazem turut menjawab beliau sedang menyatakan kekecewaan bahawa beliau perlu mengikuti arahan Jho Low.

“ Ini adalah budaya, sudah tentu tiada siapa yang mengatakannya…tetapi jika anda bekerja dalam mana-mana syarikat, jika anda tidak gembira dengan bos, anda berhenti,” kata saksi itu.

Wan Aizuddin: Lihat e-mail yang dihantar Jho Low kepada anda pada 2013, dia merujuk anda sebagai bos. Bukahkah perkara biasa bagi Jho Low memanggil anda sebagai bos? Adakah ia sebagai adat?

Mohd Hazem menjawab: “kadang-kadang ia adalah normal…walaupun anda pergi ke restoran mamak, mereka memanggil anda boss…anda boleh memanggil ssesiapa sahaja”.

Berkaitan arahan e-mel oleh Jho Low, Mohd Hazem berkata beliau tidak menyemak kandungan e-mel itu secara langsung dengan Najib kerana Jho Low adalah satu-satunya orang yang dapat mengesahkan kebenaran kandungan itu.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas