Berita

Bos Tokyo 2020 sanggah dakwaan 10 negara disekat sertai Olimpik

KONTINJEN daripada beberapa negara hanya disyaratkan menerima vaksin penuh sebelum tiba di Jepun bagi menyertai temasya yang dijadualkan bermula pada 23 Julai tersebut. Kredit foto oleh: Berita Harian KONTINJEN daripada beberapa negara hanya disyaratkan menerima vaksin penuh sebelum tiba di Jepun bagi menyertai temasya yang dijadualkan bermula pada 23 Julai tersebut. Kredit foto oleh: Berita Harian
- Diterbit 8 Jun 2021 2:23 PM MYT

KETUA Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 Toshiro Muto menafikan laporan bahawa 10 negara termasuk Malaysia akan disekat daripada menyertai temasya itu bulan depan susulan lonjakan kes COVID-19 yang sedang dialami negara berkenaan.

Muto berkata kemungkinan mengenakan sekatan penyertaan itu langsung tidak dipertimbang, sebaliknya kontinjen daripada beberapa negara disyaratkan menerima vaksin penuh sebelum tiba di Jepun bagi menyertai temasya yang dijadualkan bermula pada 23 Julai tersebut.

“Kami tidak pernah mendengar tentang perkara itu yang langsung tidak berasas, malah kami tidak menimbang langkah tersebut sebagai satu kemungkinan,” katanya.

“Mengenai (kebimbangan) varian baharu dari India, sebelum datang ke Jepun, mereka perlu menerima vaksin lengkap. Itu dasar yang kita umumkan, vaksinasi 100 peratus disyaratkan (bagi atlet) dari India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, Bangladesh dan negara yang berkaitan

“Mereka harus berunding dengan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan mereka perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum memasuki Jepun,” katanya pada sidang media di Tokyo hari ini. Rakaman video sidang media itu dikongsikan dengan Bernama.

Beliau turut menafikan ada perbincangan tentang pembatalan atau penangguhan seterusnya Sukan Olimpik dan Paralimpik yang sudahpun tertangguh setahun disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan kerajaan Jepun telah mengeluarkan pekeliling kepada jawatankuasa penganjur agar menyekat kemasukan 10 negara yang sedang mengalami lonjakan kes COVID-19.

Menurut laporan itu lagi, jika jawatankuasa tersebut gagal menyekat kemasukan atlet, langkah-langkah lebih ketat perlu dikenakan ke atas mereka termasuk dikuarantin selama 14 hari.

Selain Malaysia, negara lain yang dinamakan dalam laporan itu ialah  India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia memberi jaminan semua atlet dan pegawainya akan menerima vaksinasi penuh sebelum berlepas ke Tokyo. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas