Berita

BN tidak pernah berunding tubuh kerajaan bersama GPS, PN – Ahmad Zahid

- Diterbit 20 November 2022 3:36 PM MYT

BARISAN Nasional (BN) tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan bagi penubuhan Kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata setakat ini, BN tidak melakukan sebarang rundingan dengan PN bagi tujuan itu.

Ahmad Zahid merujuk kenyataan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Premier Sarawak, bahawa gabungan itu hari ini bersetuju untuk membentuk gabungan bersama PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Ahmad Zahid juga berkata kesemua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 telah menandatangani aku janji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

“Sehubungan ini, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan PRU15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), GRS (enam), Parti Warisan (tiga) serta masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ialah 112 kerusi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas