Utama

BN perlu pertimbang penambahan calon wanita dalam PRN Johor – Mastura

MASTURA berkata ramai wanita Johor yang berkebolehan dan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Johor jika diberi kepercayaan.
- Diterbit 5 Februari 2022 4:22 AM MYT

BARISAN Nasional (BN) diminta untuk mempertimbangkan penambahan calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung nanti, kata Exco Wanita United Malays National Organisation (UMNO) Malaysia, Datuk Mastura Mohd Yazid.

Menerusi hantaran di Facebook, Mastura berkata adalah penting untuk BN sendiri menjadi pelopor kepada usaha memperkasakan kedudukan wanita dalam kumpulan pembuat keputusan dan dasar.

“Usaha ini bukan baharu kepada UMNO. Ketika parti-parti politik lain tidak memberi keutamaan kepada wanita, UMNO telah bertindak merentasi zamannya dengan membuka rang besar untuk kaum wanita turut terbabit dalam proses politik negara sejak sebelum merdeka.

“Pada 1949, wanita Melayu telah menubuhkan Sekretariat Kaum Ibu dan seterusnya dijadikan sayap rasmi UMNO pada 1951. Sejak itu, UMNO sentiasa memberi rang dan peluang untuk wanita berada dalam kabinet dan calon pilihan raya.

“Nama-nama seperti Zainun Sulaiman, Khadijah Sidek, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani dan Tan Sri Rafidah Aziz adalah antara bukti kejayaan UMNO mengangkat kedudukan wanita dalam tradisi masyarakat Asia yang sejak zaman-berzaman memberi keutamaan kepada lelaki.

“Namun rang kepada wanita masih lagi kecil tidak seiring dengan agenda pembangunan dunia yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Pun begitu, tahun 2015 menjadi satu lagi titi penting kepada peranan wanita, apabila Kerajaan BN berjaya meningkatkan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam melepasi angka 30 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun kita berjaya meningkatkan partisipasi wanita lebih 30 peratus dalam sektor awam, namun ia adalah sia-sia jika tidak dilaksanakan dalam kumpulan pembuat polis terpenting negara iaitu wakil rakyat, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Dewan Rakyat.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, BN hanya meletakkan 92 orang calon daripada 727 kerusi Dun dan Parlimen dan ia hanya mewakili 12.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi yang dipertandingkan.

“Jumlah ini sangat jauh dari angka 30 peratus. Namun begitu perlu diakui angka 92 orang calon tersebut adalah peningkatan ketara berbanding PRU-13, di mana BN hanya menampilkan 40 orang calon wanita. Malahan jumlah calon wanita BN dalam PRU-14 adalah yang tertinggi antara parti-parti politik yang bertanding.

“Justeru pada hemat saya, sudah tiba masanya UMNO dan BN menggunakan PRN Johor sebagai platform menampilkan lebih banyak calon wanita, sama ada dari sayap wanita mahupun puteri,” ciapnya yang menganggap ia bukan sahaja akan memberi nafas baharu kepada parti, malah merupakan satu keputusan yang strategik.

Ujar Mastura, dianggarkan jumlah pengundi lelaki dan wanita dalam PRN Johor hampir sama. Berdasarkan daftar pemilih lalu jumlah pengundi lelaki ialah 912,121 dan pengundi wanita 937,463.

“Walaupun kini jumlah pengundi di Johor telah meningkat kepada sekitar 2.5 juta orang, saya percaya nisbah antara lelaki dan wanita adalah seimbang.

“Dengan jumlah pengundi yang seimbang ini memperuntukan sekitar 30 peratus calon PRN Johor dalam kalangan wanita bukan sesuatu yang terlalu besar untuk dipertimbangkan. Malahan, tanda aras 30 peratus calon wanita ini boleh memberi kelebihan kepada parti untuk mendapat sokongan wanita dan orang muda,” katanya.

Menurut Mastura, pemilihan lebih ramai wanita sebagai calon juga akan memberi semangat yang lebih kepada jentera wanita bekerja.

“Sudah menjadi rahsia umum bahawa wanita UMNO merupakan antara senjata parti yang paling ampuh dalam setiap kali pilihan raya. Biar sebesar mana isu dan cabaran, wanita UMNO tetap meredah ‘onak dan duri’ berkempen dari rumah ke rumah dan merayu undi sehingga saat akhir.

“Dalam masa yang sama pemilihan calon wanita haruslah berdasarkan merit dan kebolehan untuk menjadi wakil rakyat, bukannya sekadar kerana kedudukan dalam parti dan lobi politik. Dengan kata lain, biarlah pemilihan calon-calon wanita untuk BN mencerminkan keupayaan dan kebolehan sebenar wanita negara.

Insya-Allah kita mempunyai ramai wanita Johor yang berkebolehan dan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Johor jika diberi kepercayaan. Moga dipermudahkan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas