Berita

BN adakan pertemuan hari ini

- Diterbit 26 Oktober 2020 8:01 AM MYT

BARISAN Nasional (BN) hari ini mengadakan pertemuan dipercayai bagi membincangkan langkah seterusnya yang harus diambil oleh parti itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi mengesahkan pertemuan itu yang berlangsung di Menara Dato’ Onn di sini, bermula 1 tengah hari tadi.

Antara yang dilihat tiba, dipercayai bagi menghadiri mesyuarat itu, ialah beberapa menteri BN iaitu Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, yang sebelum itu menghadiri mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya pagi tadi.

Turut kelihatan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainal Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut) dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng daripada MCA.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk diisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong memutuskan hal itu setelah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi memperhalusi permohonan melaksanakan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangani pandemik COVID-19.

Seri Paduka merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan, kata Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas