Berita

BMT Fasa 2 bantu peserta tiga lokaliti dapatkan lot, tapak niaga

SEBAHAGIAN peserta KIR Miskin Tegar Parlimen Batu yang hadir mendengar taklimat BMT baru-baru ini.
- Diterbit 20 Januari 2023 3:52 AM MYT

RATA-RATA peserta Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) yang terdiri dalam kalangan Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di Parlimen Batu menyuarakan keinginan untuk mendapatkan lot atau tapak berniaga dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Sosioekonomi, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Parang Abai @ Thomas berkata mereka tertarik mendengar penjelasan yang diberikan sepanjang program tersebut.

“Namun berdasarkan pemakluman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kini pihaknya mempunyai kekangan dari segi kawasan dan juga ruang untuk peniaga menjalankan perniagaan.

“Walau bagaimanapun pihak kami bersama DBKL akan mengenal pasti mana-mana tapak niaga yang kosong dan sesuai untuk diberi keutamaan kepada peserta BMT yang sudah ada perniagaan dan bukannya baru hendak mula meniaga.

Datuk Parang Abai @ Thomas

“Ini kerana kebanyakan peserta yang dikenal pasti sudah mempunyai produk mereka tersendiri misalnya peserta di Desa Rejang yang sebelum ini menjalankan perniagaan secara atas talian.

“Apabila mengikuti Program BMT, mereka berkeinginan untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan berniaga di lot kedai yang lebih selesa dan besar memandangkan lot kedai di Projek
Perumahan Rakyat (PPR) agak kecil,” ujar beliau.

Tambah beliau, buat masa ini, lokasi tapak niaga di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agak
terhad dan tiada tapak niaga baharu diwujudkan.

“Diharapkan peserta akan memberi kerjasama sebaiknya semasa sesi pemprofilan agar dapat meningkatkan kemahiran melalui latihan kursus berkaitan pengeluaran produk dan pemasaran serta perkongsian yang disediakan oleh pihak Universiti Malaya (UM),” ujar beliau.

Terdahulu, BMT di bawah inisiatif JWP dengan kerjasama UM selaku rakan strategik diteruskan ke peringkat Fasa 2 melibatkan tiga lokaliti di Wilayah Persekutuan iaitu Parlimen Bandar Tun Razak,
Batu dan Titiwangsa.

Kira-kira 40 peserta hadir daripada 169 peserta terpilih dalam kalangan KIR Miskin Tegar di Parlimen Batu, pada 12 Januari lalu bertempat di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas