Selebriti

Bisnes ‘penyelamat’ Izzue Islam

IZZUE bergantung harap pada bisnes.
- Diterbit 1 Jun 2020 8:44 AM MYT

PELAKON, Penyanyi dan pengacara Izzue Islam mengaku pendapatannya sebagai selebriti turut terjejas ekoran wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac lalu, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 30, rasa bertuah kerana bisnes menjadi ‘penyelamat’ buat dirinya.

Walaupun kerajaan kini telah membenarkan semua syarikat produksi filem, drama dan dokumentari menyambung aktiviti penggambaran selepas Aidilfitri, ia tetap mengambil masa untuk para selebriti menjana ekonomi diri.

“Inilah hakikat yang saya dan artis-artis lain perlu terima kerana apa yang berlaku bukanlah kehendak kita semua. Saya akui, wabak COVID-19 ini memang memberi kesan kepada para penggiat seni.

“Seperti saya sendiri, sumber pendapatan utama saya adalah berlakon. Sudah tentu hal ini menjejaskan periuk nasi saya.

“Namun, Alhamdulillah saya rasa bersyukur kerana boleh bergantung kepada bisnes yang dijalankan semenjak awal kemunculan sebagai artis. Bukan itu sahaja, duit simpanan yang ada juga banyak membantu saya dan keluarga dalam meneruskan kehidupan,” katanya yang menjalankan bisnes pakaian IzzuExclusive, kanta lekap dan biskut raya.

Izzue juga meluahkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana telah membenarkan penggiat seni menjalankan penggambaran sama ada yang tertangguh atau baharu.

“Kita semua perlu faham, shooting ini melibatkan banyak pihak dan lokasi. Jadi, kebenaran ini perlulah disertai dengan disiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), para barisan hadapan kerana sanggup bergadai nyawa demi memastikan kami rakyat Malaysia selamat daripada wabak COVID-19.

“Harapan saya semoga semua artis mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan sepanjang penggambaran dijalankan. Siapa lagi boleh jaga kita kalau bukan diri Kita sendiri,” ujarnya yang mengakhiri perbualan.

Pasal kerjaya,lakonan Izzue dalam drama bersiri Nasi Kerabu Untuk Che Abe sedang ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat di TV3. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas