Berita

Bina sebelum Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 digazet – Datuk Bandar

- Diterbit 20 Februari 2020 9:02 AM MYT

PUTRAJAYA – Datuk Bandar Kuala Lumpur menepis dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Projek pembangunan kondominium di Taman Desa, Kuala Lumpur tidak mengikut spesifikasi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 kerana kelulusan pembinaan dibuat sebelum pelan digazetkan pada akhir 2018.

Jelas Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, perintah pembangunan (DO) untuk pembinaan kondominium tersebut dikeluarkan pada 2017.

“Pada 2017, mereka mendapat kelulusan DO daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mac 2018 dah mula bina hingga sekarang.

“Ada yang bertanya kenapa diluluskan sedangkan Pelan Tempatan menyebut berkenaan kawasan hijau. Mereka perlu faham bahawa pelan tersebut digazet pada akhir 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tentang runtuhan projek kondominium Taman Desa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan pembinaan dihentikan di tapak yang runtuh dan pemaju perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Ujarnya, faktor runtuh juga adalah disebabkan struktur dan bukan bencana alam seperti hujan atau tanah.

Tambah beliau, pembinaan bagi bangunan bersebelahan pula diteruskan kerana DO yang berbeza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas