Berita

Biden tandatangani perintah eksekutif betulkan dasar penjagaan kesihatan

- Diterbit 29 Januari 2021 3:57 AM MYT

PRESIDEN Joe Biden pada Khamis menandatangani dua perintah eksekutif bertujuan memulihkan semula sistem penjagaan kesihatan dan membetulkan “kerosakan” yang dibuat bekas Presiden Donald Trump, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata langkah Trump sebelum ini menyebabkan sistem penjagaan kesihatan “sukar diakses, lebih mahal dan ramai rakyat tidak berpeluang memenuhi syarat ditetapkan.”

“Saya tidak membuat undang-undang baharu mahupun aspek baharu. Cuma kita akan kembali kepada keadaan sebelum ini,” katanya di Rumah Putih.

Perintah eksekutif itu bertujuan memperkasakan Medicaid dan undang-undang penjagaan kesihatan universal yang dikuatkuasakan ketika Biden menjadi naib presiden semasa pentadbiran Presiden Barack Obama, dan membatalkan usaha Trump untuk mengekang akses wanita untuk pengguguran.

Di bawah perintah itu rakyat Amerika boleh membuat pendaftaran baharu insurans di bawah undang-undang penjagaan kesihatan universal dari 15 Februari hingga 15 Mac.

“Ia sangat penting di tengah penularan wabak COVID-19 yang telah merosakkan AS,” , kata Biden.

Lebih 431,000 rakyat Amerika maut akibat virus itu, mereka yang masih bertahan pula kemungkinan berdepan risiko kesihatan jangka panjang, termasuk masalah paru-paru dan komplikasi jantung. Sementara lebih 25 juta kes telah direkodkan di negara ini, menurut data Johns Hopkins University.

Biden turut mengeluarkan arahan supaya agensi persekutuan membuat semakan semula  untuk memastikan dasar mereka tidak mengganggu akses rakyat Amerika terhadap penjagaan kesihatan.

Dalam satu arahan berasingan Presiden Biden mengeluarkan memorandum kepada ketua Jabatan Negara, Pertahanan dan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan serta agensi bantuan asing AS, untuk mengembalikan apa yang dikenali sebagai “Mexico City Policy.” – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas