Berita

Biden tandatangan tiga lagi perintah eksekutif berkaitan imigresen

- Diterbit 3 Februari 2021 2:50 AM MYT

PRESIDEN Joe Biden pada Selasa menandatangani tiga lagi perintah eksekutif bertujuan menyemak semula langkah yang dilaksanakan bekas Presiden Donald Trump, kali ini tumpuan utama diberikan kepada isu imigresen.

Menurut laporan Agensi Anadolu, perintah eksekutif Biden itu mengandungi pelbagai pendekatan termasuk mewujudkan pasukan petugas antara agensi untuk menyatukan kembali anak-anak yang dipisahkan secara paksa daripada ibu bapa mereka, semakan menyeluruh mengenai punca kemasukan imigran ke Amerika Syarikat serta halangan mengenai tuntutan suaka.

Lebih 600 kanak-kanak terpaksa berjauhan dengan ibu bapa mereka di bawah dasar “toleransi sifar” Trump, menurut beberapa laporan.

Trump mengambil pendekatan keras terhadap imigran selama empat tahun memegang jawatan.

Perintah eksekutif terbaru itu menjadikan setakat ini Biden sudah mengeluarkan sembilan arahan berkaitan imigresen.

Biden dilaporkan berkata Trump mengeluarkan perintah eksekutif yang sangat tidak produktif untuk keamanan dan negara.

“Saya berusaha untuk membangunkan semula reputasi kita sebagai tempat yang selamat untuk orang yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas