Selebriti

“Bersedekahlah sama ada kaya atau miskin” – Amaris

Tan Sri TPr Annuar Musa kepada warga penduduk di PPR Putra Ria
- Diterbit 18 Ogos 2021 4:20 AM MYT

TIDAK dinafikan, masih ramai yang takut-takut hendak bersedekah kerana bimbang harta akan berkurang.

Lain pula bagi pelakon Putra Amaris,35, yang memegang prinsip tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah.

Disebabkan itulah, Amaris tidak berkira melakukan kerja-kerja amal bersama badan bukan kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Saya pernah susah, jadi saya tahu macam mana rasa susah. Melihat banyak masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, saya tidak sampai hati dan perlu lakukan sesuatu.

“Sejak itu, saya sentiasa merancang dan bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk menghulurkan sumbangan makanan kepada keluarga susah.

“Mungkin apa yang diberikan tidaklah mewah, tetapi sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban hidup mereka terutamanya mereka yang sudah berkeluarga,” luah Amaris yang berpuas hati melihat orang susah tersenyum apabila anak-anak mereka masih ada bekalan makanan.

SELEBRITI PriVo menyampaikan buah tangan daripada mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa kepada warga penduduk di PPR Putra Ria, Bangsar.

“Sejujurnya hati saya rasa puas apabila dapat terlibat dalam kerja amal. Melihat mereka tersenyum gembira mendapat bantuan sudah memadai.

“Walaupun saya bukan orang kaya, tak salah membantu orang lain pada waktu yang sama.

“Kalau diizinkan Allah, saya nak bantu lebih ramai wang ringgit pun, saya akan bantu sedaya yang boleh selagi tulang empat kerat saya masih ada,”jelasnya lagi.

Sebelum ini Amaris terlibat dalam banyak program amal seperti aktiviti Food Bank kepada 70 buah rumah di sekitar kawasan Wangsa Maju dengan kerjasama pusat beli-belah Wangsa Walk, Yayasan Food Bank Malaysia serta pertubuhan badan bukan kerajaan lain yang turut terbabit, baru-baru ini.

Sementara itu, Amaris yang juga selebriti Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) turut menyertai program Jejak Prihatin iaitu menyantuni serta menyampaikan buah tangan daripada Tan Sri TPr Annuar Musa kepada golongan yang memerlukan.

“Saya bangga melihat semangat anak-anak muda menyertai PriVo dan memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu golongan susah.

“Misalnya ketika program Vaksinasi Bergerak, mereka rajin membantu orang-orang tua dan golongan Orang Kurang Upaya agar dapat menerima vaksin,” jelasnya lagi.

Selain itu, Amaris juga turut berkunjung ke RumahPrihatin@GrandSeasons iaitu hotel kebajikan buat warga wilayah yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Amaris turut mengusahakan bisnes tart telur iaitu Amaris Mytart. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas