Berita

Berlaku salah faham, Menteri mohon maaf pada Dayang Nurfaizah

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memohon maaf secara peribadi kepada penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah, atas isu ujian saringan COVID-19
- Diterbit 31 Disember 2020 6:45 AM MYT

DISEBABKAN berlakunya salah faham yang tidak disengajakan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah memohon maaf secara peribadi kepada penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah.

Permohonan maaf itu telah dibuat susulan salah faham oleh pihak tertentu dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang meminta penghibur anak jati Sarawak itu untuk menjalani ujian saringan COVID-19 buat kali kedua sebaik sahaja dia memasuki negeri itu.

Menurut Abdul Karim, Dayang dilaporkan telah melalui ujian saringan di Semenanjung sebagai salah satu syarat wajib untuk berada di Sarawak.

Namun begitu, kakitangan dalam JPBNS telah melakukan saringan kali kedua dan telah mengenakan kuarantin kepada Dayang meskipun dia sudah melalui proses tersebut ketika di Semenanjung

Dayang yang popular dengan lagu Lelaki Teragung ini telah melakukan ujian saringan pertama pada 25 Disember lalu dan memasuki Sarawak tiga hari kemudian serta Dayang difahamkan telah mendapat pengesahan pengecualian daripada Pengerusi JPBNS.

Dayang Nurfaizah dilaporkan telah pulang ke Kuching, Sarawak kerana memenuhi tuntutan kerja memenuhi jemputan untuk membuat persembahan sempena sambutan Tahun Baru, New Year Countdown 2021, pada malam ini. 

Sumber: Astro Awani

Foto: Twitter @ybkarimhamzah & Instagram @dayangsayangkamu

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas