Selera

Berhibur sambil nikmati udang galah

PENYANYI Alif Kadim tidak ketinggalan menjamu selera
- Diterbit 14 November 2020 3:31 AM MYT

KEENAKAN menu udang galah tidak perlu dipertikaikan lagi. Teksturnya yang pejal dan manis biarpun bersaiz besar mahupun kecil membuatkannya menjadi rebutan dalam kalangan penggemarnya.

Biarpun harganya dikatakan agak mahal namun itu bukanlah masalah utama jika penyajiannya kena dengan citarasa. Bak kata pepatah, ibu mertua lalu di belakang pun tak sedar kerana asyik menghayati keenakan udang galah.

Menyedari tarikan menu berasaskan udang galah, restoran D’Empangan Udang Galah yang terletak di Presint 5, Putrajaya merupakan antara lokasi yang menjanjikan syurga makanan lazat tersebut.

Lima tahun beroperasi, restoran ini menyajikan lebih 100 menu lazat yang tidak pernah menghampakan pelanggan.

Dengan harga yang berpatutan sudah semestinya udang galah menjadi pilihan utama di sini.

Antara masakan istimewa yang mampu membuatkan anda kecur air liur di restoran ini adalah udang galah masak bercili, udang galah sweet & sour, mee udang galah, tom yam udang galah dan banyak lagi.

Menurut Pengurus Acara D’Empangan Udang Galah, Ika Osman, selain daripada menyajikan menu berasaskan makanan tersebut, pelanggan juga boleh menikmati hidangan barat serta menu ala carte yang terdapat di restoran tersebut.

“Kami di sini begitu mementingkan citarasa pelanggan. Usah risau, harga yang ditawarkan begitu berpatutan serendah RM7 sahaja. Disebabkan itu, ia menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menariknya, selain daripada menjamu selera sambil menikmati keindahan tasik, pelanggan juga turut dihiburkan dengan celoteh deejay dan persembahan artis popular tanah air.

MENJAMU selera sambil ditemani celoteh deejay.

“Hiburan daripada artis lama dan baru yang diundang membuatkan restoran ini tidak lekang daripada pelanggan. Lagulagu popular yang disampaikan cukup menghiburkan terutamanya ketika waktu makan malam.

“Razis Ismail, Ibnor Riza, Ayu Damit, Alif Kadim, Jaafar Onn merupakan antara artis yang sering menghiburkan pelanggan,” ujar Ika.

Selain daripada itu, keindahan panorama serta suasana romantis restoran tersebut menjadikannya pilihan utama bagi pasangan yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan, hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.

“Kami tidak menetapkan sebarang harga bagi setiap majlis yang dianjurkan. Ia berdasarkan kepada bajet pelanggan itu sendiri. Yang pasti kami akan memberikan hasil terbaik kepada mereka,” ujarnya yang mengakui restoran tersebut sering menjadi pilihan sebagai lokasi penggambaran drama.

D’EMPANGAN UDANG GALAH berlatarbelakangkan keindahan Putrajaya.

BANTU PENIAGA KECIL

Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran COVID-19 ini, D’Empangan Udang Galah tidak pernah melupakan golongan peniaga kecil yang terjejas dengan pandemik tersebut.

Bagi meringankan beban mereka, peniaga yang terpilih diberi peluang untuk membuka kios di ruang legar restoran tersebut tanpa dikenakan sebarang caj.

“Setakat ini tujuh kiosk sudah beroperasi dan kebanyakan mereka ini tidak mampu membayar sewa di luar sana. Antara yang sudah beroperasi adalah Sang Kaya Aiskrim selain kios yang menyajikan menu lokcing, sate dan sebagainya,” ujar Ika.

Terbaharu, D’Empangan Udang Galah juga turut melancarkan sistem aplikasi dalam talian, Tapau bagi pelanggan yang ingin memesan makanan serta dalam masa yang sama turut membantu golongan yang kehilangan pekerjaan.

“Peniaga boleh membuat promosi makanan dan minuman dalam aplikasi tersebut sementara mereka yang kehilangan sumber pendapatan pula boleh melakukan pekerjaan sambilan seperti penghantaran makanan,” katanya.

D’EMPANGAN UDANG GALAH
Alamat: Presint 5, Putrajaya
Cawangan: Restoran Seri
Bagan Pinang, Presint 8,
Putrajaya
Waktu Operasi: 10 pagi hingga
12 malam (setiap hari)
Instagram: D’Empangan Udang Galah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas