Berita

Bergelar ADUN Melaka, Dira ikut jejak arwah ayah

- Diterbit 20 November 2021 3:41 PM MYT

MEWAKILI parti Barisan Nasional (BN), nama Datuk Dira Abu Zahar menjadi calon pertama diumumkan sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung hari ini.

Difahamkan, Dira atau Khaidira Abu Zahar sejak awal lagi mendahului dua pencabar lain bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

Berdasarkan keputusan  yang diumumkan tadi, Dira memperolehi sebanyak 4,037 undian, jauh di hadapan meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Azalina Abdul Rahman dengan 2,170 undian.

Manakala seorang lagi pesaingnya daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Prasanth Kumar pula cuma mengumpul jumlah undi 2,163.

Sebelum ini melalui Instagramnya, Dira menyatakan hasrat mahu berbakti kepada rakyat sepertimana arwah bapanya Datuk Seri Abu Zahar

“Sesungguhnya DUN Rim, Jasin ini begitu dekat di hati saya dan kampung saya membesar di sini.

“Saya gagahkan diri mengambil tanggungjawab ini demi mengikut jejak langkah arwah ayahanda saya, Datuk Seri Abu Zahar untuk menabur bakti dan menyumbang khidmat kepada rakyat.

“Banyak yang telah dilakukan oleh pemimpin BN terdahulu dan menjadikan Melaka sebuah negeri maju.

“Saya percaya legasi kecemerlangan pentadbiran ini perlu diteruskan semula. Bukan untuk yang lain, tetapi untuk kita semua,” tulisnya.

Semoga rakyat Melaka terutamanya DUN Rim terus memberi sokongan buat Dira. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas