Selebriti

Beraya bukan keperluan, Jasmin Hamid nasihat jangan keluar rumah

JASMIN tak terima tetamu raya ini.
- Diterbit 22 Mei 2020 7:14 AM MYT
BIARPUN terdapat beberapa kelonggaran yang diberikan kerajaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), namun pelakon Jasmin Hamid tetap meminta agar peminatnya yang bergelar ibu bapa untuk terus melindungi anak mereka dari dijangkiti wabak Covid-19.
Pesanan berkenaan dikongsi wanita berkenaan bersama dengan satu artikel yang menyatakan seramai 317 kanak-kanak termasuk 22 bayi positif Covid-19.
Jasmin, 47, turut menegaskan keluar rumah untuk beraya bukanlah satu keperluan, sebaliknya rakyat Malaysia masih boleh menyambut hari kemenangan itu di rumah sahaja.
“Para ibu bapa sekalian, lindungi anak-anak kita dari dijangkiti wabak Corona ini. Kalau keluar rumah tu, tak perlu bawa anak-anak bersama, terutama musim perayaan ini.
“Tak mati kalau tak raya, tapi kita dan keluarga kita terutama anak-anak dan warga emas boleh mati dijangkiti hanya sebab nak beraya.
“Tak payah keluar rumah kalau tak perlu. Beraya bukan keperluan, kita masih boleh sambut kemenangan berpuasa di rumah,” tulisnya panjang lebar.
Tambah pemilik nama sebenar Jasmiah Abdul Hamid lagi, Malaysia masih belum menang dalam usaha melawan wabak yang sedang melanda sekarang, tetapi tidak mustahil untuk menang sekiranya rakyat tidak degil.
“Kita masih belum menang lagi. Tapi kita boleh menang kalau kita tak degil. Jangan susahkan diri dan keluarga hanya sebab nak penuhi kehendak, bukan keperluan.
“Jangan sebab kedegilan dan sikap selfish, kita tak dapat sambut Ramadan lagu tahun 2021,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pelakon itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan  aktiviti penggambaran drama dijalankan semula selepas Aidilfitri ini.
Jasmin juga tidak sabar untuk menghabiskan 20 peratus baki penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang sepatutnya ditayangkan sepanjang Ramadan ini.
“Semoga kami dapat sambung drama ini lagi untuk ditontonkan kepada anda. Sepatutnya ditayangkan pada bulan Ramadan, tetapi disebabkan Corona Virus, kami tidak sempat habiskan kerja yang cuma berbaki 20% sahaja lagi.
“Semestinya, pasti ada hikmah disebalik apa yang Allah aturkan,” jelas Jasmin. -WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas