Selebriti

Benteras kandungan kreatif anti keharmonian – Mohamad Hasan

Mohamad Hasan menyifatkan iklan judi raya tidak sensitif.
- Diterbit 18 April 2021 4:34 AM MYT

ISU iklan raya mempromosikan judi yang tular dalam laman sosial sedang hangat diperkatakan.

Isu ini juga turut mendapat perhatian Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan iklan judi raya tersebut tidak sensitif dan menyinggung umat Islam.

“Video tular yang mengiklankan aktiviti perjudian berlatarbelakangkan suasana Ramadan dan Aidilfitri sangat menyinggung umat Islam di Malaysia.

“Ia tidak sensitif dan sangat keterlaluan, lebih-lebih lagi pada bulan suci umat Islam,” tulisnya di akaun instagram miliknya.

Pemimpin yang juga mesra dipanggil Tok Mat ini berharap pihak berwajib mengambil serius dan tindakan sewajarnya terhadap isu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tampil segera menjelaskan bagaimana perkara ini boleh berlaku dan dibenarkan tular.

“Insiden kandungan kreatif yang tidak sensitif dan bersifat anti keharmonian kaum sudah kerap kali berlaku. SKMM mempunyai tanggungawab mencegah semua ini.

“SKMM wajar mengemukakan penjelasan bagaimana video tersebut boleh menjadi tular untuk beberapa ketika.

“Menyediakan garis panduan dan kod kandungan yang selari dengan budaya dan norma masyarakat Malaysia tidak lagi memadai. Malaysia memerlukan tindakan pencegahan efektif dan bukan tindakan reaktif,” jelasnya lagi.

MENERUSI Instagram, Mohamad Hasan menyifatkan iklan judi raya tidak sensitif.

Usaha daripada SKMM ini sedikit sebanyak boleh mencegah kandungan tidak bemoral agar keamanan negara terjamin.

“Pemberantasan segera dan secara total segala kandungan tidak bermoral di persada maya mesti menjadi keutamaan SKMM. Ini termasuk aktiviti judi secara online dan tidak dilesenkan.

“Jangan dibiarkan kemakmuran negara Malaysia menjadi taruhan akibat kegagalan kawal selia kandungan kreatif yang bersifat anti keharmonian kaum dan agama,” ujarnya lagi.

Semoga penjelasan Mohamad Hasan ini menjadi penguat dan dorongan buat SKMM untuk terus melakukan yang terbaik demi kemakmuran negara yang berbilang agama dan kaum. – WILAYAHKU

Foto: instagram @mohamadhjhasan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas