Selebriti

Ben Utomo luah kisah cinta palsu anak muda dalam Ghosting

Ghosting
- Diterbit 30 September 2021 1:33 AM MYT

KISAH cinta anak muda antara isu menarik yang sering menjadi inspirasi dalam lagu. Inilah juga yang dilakukan oleh penyanyi rap Indonesia, Ben Utomo.

Tidak lama selepas melancarkan album Indo Kid pada April 2021 yang lalu, Ben sekali lagi bakal melancarkan single terbaru dengan tema romantik, berjudul Ghosting dengan menampilkan dua rakannya, Benny Fasak dan Si Pattra.

“Walaupun saya agak baru juga melancarkan album INDO KID, namun saya merasakan sekarang adalah masa yang tepat untuk melancarkan satu lagi single baru,” kata Ben membuka perbualan.

Bercakap mengenai tajuk lagu yang juga merupakan istilah yang kini semakin kerap digunakan dalam kehidupan seharian, Ben menjelaskan inspirasi untuk tema lagu ini sebenarnya adalah kisah cinta yang mungkin dialami oleh ramai orang.

“Ketika kita berasa selesa dengan seseorang, tetapi orang itu sebenarnya bukan sahaja memberikan harapan palsu, malah hilang begitu saja. Inilah intipati lagu Ghosting.

“Jika anda dengar, dalam bait pertama saya bercakap tentang hubungan mesra dengan seorang wanita, tetapi tiba-tiba dia menghilang.

“Semasa di bait kedua, saya pula yang menghilang. Saya yakin ini adalah sesuatu yang mungkin biasa dialami oleh ramai anak muda di masa kini.

“Saya harap pendengar akan dapat mengaitkan perspektif cerita yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini, ” jelasnya lebih lanjut.

BEN Utoma sentuh kisah cinta anak muda dalam lagu terbaharunya, Ghosting

Tidak sendirian, Ben bekerjasama dengan dua kolaborator, iaitu Benny Fasak dan Si Pattra, untuk membantunya menyampaikan naratif dengan lebih berkesan. Bercakap mengenai kisah di sebalik kolaborasi itu, Ben berkata,

“Sebenarnya kedua-duanya adalah rakan saya. Pada masa itu, kami semua berada di rumah saya melepak bersama. Ketika melepak itulah lahirnya idea untuk membuat lagu bersama,” jelasnya.

Kolaborasi Benny dan Pattra sebagai penyanyi sementara dan Ben Utomo sebagai rapper sebenarnya melengkapkan lagi lagu ini.

“Produksi dilakukan ketika kami sedang melepak bersama. Kami berjaya mencipta lagu tersebut pada waktu itu. Dari proses penulisan hingga penyusunan lagu hanya memakan masa sekitar satu jam. Proses yang memakan masa hanya pada bahagian mixing dan mastering,” katanya lagi.

Sedikit info tentang Ben Utomo, namanya semakin dikenali sejak tahun 2014 apabila sentiasa menghasilkan karya yang jujur, tulen, pelbagai perspectif dan sebagainya.

Dengan bakat dan potensi yang ada pada dirinya, nama Ben Utomo diyakini akan lebih terkenal dalam dunia hip-hop, tidak hanya di Indonesia bahkan peringkat antarabangsa.

Lagu Ghosting dendangan Ben Utomo, Benny Fasak dan Si Pattra sudah boleh distrim did semua platform digital. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas