PARA belia di wilayah itu disaran untuk mengambil pelbagai peluang yang disediakan kerajaan dalam meningkatkan ilmu pengetahuan masing-masing.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias berkata para belia perlu memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan dengan minat atau potensi diri untuk menghadapi dunia yang kian mencabar.
“Para belia boleh merujuk kepada agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Belia dan Sukan, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan agensi lain yang ada menyediakan sebarang kursus yang diminati agar boleh membantu para belia meningkatkan ilmu serta kemahiran yang ada.
“Potensi yang ada pada belia perlu dicungkil serta diasah bagi menjadi bekalan para belia meneruskan kehidupan terutamanya semasa pasca pandemik COVID-19 yang mana banyak sektor ekonomi yang menjejaskan peluang pekerjaan mahupun perniagaan.
“Para belia yang sudah mempunyai pekerjaan juga digalakkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk memajukan diri sendiri serta kerjaya di masa hadapan,” jelasnya semasa merasmikan Program Cambah Minda, Jabatan Penerangan Labuan, baru-baru ini.
Tambahnya, para belia juga perlu bijak memilih kerajaan pada pilihanraya umum yang akan datang bagi menjamin masa depan mereka yang lebih terjamin.
“Belia perlu bijak dan berhati-hati dalam memilih kerajaan, pilihlah yang ada ‘track record’ agar nasib belia terbela dan mendapat lebih banyak peluang untuk membangunkan golongan belia di negara ini,” katanya.
Pada program itu, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Ab Rasil Hajatil menyampaikan ceramah mengenai Undi 18 Tahun, Konsep Keluarga Malaysia dan Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori dan para peserta seterusnya diberikan tugasan untuk menghuraikan semula maklumat-maklumat yang diterima.
Program yang mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Majlis Belia Labuan, Ahli Parliman Belia Labuan dan Gabungan Belia Pohon Batu itu turut dihadiri Ahli Parlimen Belia Labuan, Nazera Roslan. – WILAYAHKU