Belanjawan 2021: Suntikan RM400 juta perkasa program COSS – Nanta

Belanjawan 2021: Suntikan RM400 juta perkasa program COSS – Nanta

PROGRAM Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang menerima suntikan RM400 juta dalam Belanjawan 2021 dijangka memberi impak kepada golongan sasar di bawah kategori B40, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata COSS berupaya meminimumkan impak kenaikan harga minyak sawit mentah ke atas harga minyak masak, menstabilkan harga runcit minyak masak bersubsidi untuk kegunaan isi rumah tempatan dan memastikan bekalan mencukupi di pasaran.

“Sejak COSS diambil alih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 1 Nov 2016, COSS memberi manfaat kepada 33.2 juta rakyat yang menerima bekalan minyak masak bersubsidi pada kadar anggaran 2.5 kilogram per kapita sebulan.

“COSS juga mampu menjamin harga minyak masak yang stabil di pasaran domestik dengan mengurangkan impak daripada turun naik harga minyak sawit mentah di pasaran dunia,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif-Belanjawan KPDNHEP 2021: Impak Kepada Ekonomi Dan Rakyat yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Memperincikan perkara itu, Nanta berkata secara keseluruhan kementeriannya menerima RM680 juta dalam Belanjawan 2021 khusus bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat.

Justeru katanya, KPDNHEP akan memperkasa usaha dengan melaksanakan tiga program subsidi bersasar selain program penyeragaman harga yang diyakini mampu memberi kesan cukup signifikan terhadap usaha mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Turut dilaksanakan adalah Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Community Drumming, Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am,” kata Nanta.

Menurut beliau, semua program yang dirancang adalah demi kepentingan rakyat dengan memberi fokus utama membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Ini menjadi keutamaan bagi KPDNHEP malah kami (KPDNHEP) yakin semua inisiatif itu mampu memberi kesan signifikan kepada usaha mensejahterakan kehidupan rakyat,” katanya.

Berkongsi pendekatan lain, Nanta berkata KPDNHEP juga melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan kerjasama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi melindungi proses persaingan demi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi melalui Akta Persaingan 2010.

Selain itu, Nanta berkata KPDNHEP turut aktif dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL). – BERNAMA

CATEGORIES