Berita

Belanjawan 2021 cakna rakyat, prihatin ‘frontliner’ dan pulih ekonomi negara

- Diterbit 9 November 2020 9:34 AM MYT

SESI persidangan Dewan Rakyat kali ini dijangka hangat apatah lagi menjelang hari pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat ini.

Seluruh rakyat Malaysia pastinya ternanti-nanti apakah intipati Belanjawan tersebut di saat ramai yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Umum mengetahui ekonomi tanahair ketika ini berada di dalam krisis yang mencabar survival perniagaan kecil, pekerjaan, masa depan dan keadaan kewangan rakyat Malaysia.

Justeru, saya berharap agar Belanjawan yang bakal dibentangkan nanti akan lebih terarah kepada aspek perancangan kewangan, perniagaan dan kelangsungan pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh.

Ini sekaligus akan memberikan kesan yang besar kepada kesejahteraan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

Dalam masa sama, saya juga berpendapat Belanjawan 2021 perlu fokus kepada memenuhi keperluan ekonomi rakyat Malaysia dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memelihara pekerjaan rakyat, dan memastikan perniagaan dibantu untuk mereka terus bertahan.

Satu elemen penting yang tidak harus dipandang remeh oleh kerajaan adalah aspirasi rakyat. Hasil pemantauan saya di media sosial mendapati ada beberapa cadangan yang boleh dianggap popular di kalangan netizen.

Antara cadangan yang sering disebut dalam media sosial dari netizen adalah supaya kerajaan menghargai jasa frontliners yang telah banyak berkorban di saat negara berperang dengan pandemik COVID-19.

Antara penghargaan yang boleh diberi adalah dengan memberikan bayaran yang munasabah kepada mereka dan menyerap pegawai kontrak sedia ada kepada jawatan tetap.

Cadangan seterusnya adalah supaya kerajaan memberikan suntikan dana kepada peniaga-peniaga kecil.

Dalam masa yang sama, saya mendapati ramai di kalangan rakyat yang sangat mengharapkan supaya tempoh moratorium dapat dilanjutkan lagi.

Saya berpandangan, sekiranya tempoh moratorium dilanjutkan, ianya dapat membantu meringankan beban mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat COVID-19.

Selain itu bagi golongan belia yang menganggur, saya mencadangkan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian dana tambahan kepada mereka.

Cadangan-cadangan ini saya kemukakan demi satu matlamat yang mulia dan penting, iaitu untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang paling terkesan dengan COVID-19 dan membantu mereka memulihkan kehidupan.

Saya percaya, cadangan-cadangan inisiatif cakna tersebut sekiranya dilaksanakan, secara tidak langsung akan membantu melandaikan wabak COVID-19.

Akhir sekali, saya menyeru agar setiap ahli Dewan Rakyat di kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, agar dapat mengenepikan sentimen politik dan agenda peribadi, dan melihat pembentangan Belanjawan 2021 ini sebagai agenda bersama dalam menangani dampak penularan pandemik COVID-19.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas