Berita

Bekalan darah berkurangan, orang ramai disaran tampil menderma

|
- Diterbit 10 Oktober 2020 2:34 PM MYT

KEPRIHATINAN masyarakat untuk segera tampil menderma darah amat diperlukan terutama bagi mewujudkan keseimbangan bekalan darah yang mencukupi untuk menampung kadar kegunaan semasa.

Pusat Darah Negara (PDN) menerusi kenyataan media berkata, situasi semasa penularan wabak Covid-19 menyebabkan bilangan penderma darah mencatat pengurangan ketara serta menjejaskan pelbagai aktiviti kempen dijadualkan sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, sehingga 8 Oktober lalu (kelmarin) sahaja, terdapat sebanyak 35 Kempen Derma Darah bergerak yang dikendali PDN telah ditangguhkan di atas permintaan pihak penganjur dan situasi ini secara langsungnya menyebabkan bekalan darah sedia ada semakin berkurangan.

“Daripada semua 35 kempen yang ditangguhkan itu, ia melibatkan sejumlah sasaran hampir 2,500 penderma darah, sekaligus mewujudkan keadaan ketidakseimbangan antara bekalan darah dengan permintaan kegunaan semasa.

“Justeru, kami (PDN) menyeru orang ramai atau pihak yang berkenaan untuk segera tampil secara sukarela menderma darah di mana sahaja fasiliti PDN di seluruh negara atau mengunjungi hospital kerajaan memiliki kemudahan dan perkhidmatan menderma darah pada kadar segera,” katanya di dalam kenyataan media, semalam.

Berdasarkan statistik, sejumlah 3,500 pek darah diperlukan untuk menampung kegunaan darah di semua hospital dalam Wilayah Tengah, meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan & barat Pahang, setiap minggu.

Dalam pada itu, PDN menerusi kenyataan sama, menyeru serta mengajak orang ramai membantu dengan hadir menderma darah mana-mana Pusat Pendermaan Darah Statik PDN dan Tabung Darah berhampiran dengan lokasi setiap penderma bagi
mengelak bekalan darah turun ke paras kritikal.

“Untuk semua rakyat Malaysia, keprihatinan anda amatlah kami hargai kerana jasa anda penggerak misi murni. Stok darah kumpulan A dan B telah menurun.

“Bagi setiap seorang penderma darah, ia mampu selamatkan tiga nyawa. Bantu Kami untuk bantu mereka yang memerlukan darah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas