Berita

BBP Presint 14 mula operasi sempena Hari Wilayah Persekutuan

BBP Presint 14 mula operasi pada 1 Februari 2021. - Foto: JBPM Putrajaya
- Diterbit 1 Februari 2021 7:40 AM MYT

BALAI Bomba Dan Penyelamat Presint 14 (BBP Presint 14), Putrajaya hari ini memulakan pengoperasian secara rasmi sejajar Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2021.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya dalam satu kenyataan memaklumkan, BBP Presint 14 yang berkeluasan 1.3 hektar merupakan balai bomba ke-2 yang dibina di Putrajaya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan BBP ke-321 beroperasi di negara ini.

“Tarikh keramat ini juga signifikan dan bertepatan dengan Hari Wilayah Persekutuan.

“Dengan pengoperasian balai ini, ia menggambarkan JBPM sensitif dan sentiasa menyokong dalam membantu merealisasikan hasrat Perbadanan Putrajaya bagi menjadikan pusat pentadbiran kerajaan ini menjadi sebagai sebuah bandar pintar, selamat dan e-mobiliti seperti yang digariskan di dalam Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018 – 2025,” katanya.

Menurutnya, JBPM sentiasa memberi penekanan dalam meningkatkan aspek perlindungan kebakaran dan penyelamatan kepada masyarakat setempat.

Tambahnya, BBP Presint 14 akan memberi khidmat kebombaan kepada kawasan sekitar merangkumi Presint 1, Presint 12, Presint 13, Presint 14, Presint 15, Presint 16 dan Presint 17 sebagai kawasan jagaan melibatkan 22 kilometer persegi serta menjangkaui kawasan Bangi dan Kajang, Selangor sebagai kawasan keluaran operasi (turn out area).

BBP ini merupakan balai kategori C, dilengkapi satu keluaran jentera dengan keanggotaan penuh seramai 29 orang dan diketuai seorang Ketua Balai Gred KB 29. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas