Berita

Basmi kemiskinan sebab COVID-19 perlu jadi agenda utama WKB 2030

MASALAH kemiskinan bandar perlu ditangani secara holistik. - Gambar hiasan
MASALAH kemiskinan bandar perlu ditangani secara holistik. - Gambar hiasan
- Diterbit 3 Mac 2021 10:58 AM MYT

PEMBASMIAN kemiskinan akibat pandemik COVID-19 selain kemiskinan sedia ada perlu dijadikan agenda atau solusi pertama kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan RMK13, bagi merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), kata Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris berkata pihaknya memandang serius situasi yang mana kumpulan T20 sebahagiannya menjadi kumpulan M40, manakala sebahagian M40 pula menjadi B40, selain B40 yang terus bertambah miskin.

“Akibat komitmen yang ditanggung oleh kumpulan ini yang sangat tinggi berikutan penguncupan ekonomi yang ketara telah menjadikan rakyat Malaysia yang dimaksudkan itu sudah tidak ada punca pendapatan, penyusutan wang tunai yang banyak serta tidak dapat mencairkan aset fizikal sedia ada bagi menanggung bebanan ekonomi keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata program yang dirancang menerusi WKB 2030 dalam RMK12 dan RMK13 perlu disasarkan kepada kumpulan rentan yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.

Menurutnya, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan harapan besar kerajaan Perikatan Nasional dapat merealisasikan peta ekonomi WKB 2030 sebagai agenda yang membawa kepada pemulihan ekonomi efektif bagi rancangan jangka panjang negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin pada Isnin lalu berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikannya dimaklumkan jumlah rakyat yang jatuh miskin akibat COVID-19 telah meningkat dan kerajaan sedang berusaha mengatasi masalah itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas