Berita

Bas percuma: Ringankan beban warga Putrajaya

BAS percuma Putrajaya bermula 1 November ini.
- Diterbit 26 Oktober 2020 3:42 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) memperkenal bas percuma sebagai langkah membantu meringankan beban rakyat di Putrajaya bermula 1 November ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Rosida Jaafar berkata, perkhidmatan bas percuma itu merupakan salah satu inisiatif di bawah Wilayah Prihatin yang bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

“Inisiatif tersebut melibatkan anggaran kos sebanyak RM12 juta setahun. Ia dilihat sangat relevan dalam mengukuhkan kesalinghubungan yang cekap serta bermanfaat untuk kesejahteraan rakyat.

“Kewujudan perkhidmatan ini membantu dalam aspek pengangkutan serta memudahkan urusan di Putrajaya.

“Pada masa sama, kemudahan ini akan dapat menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang dapat membantu memulihkan ekonomi setempat,” katanya selepas melancarkan Perkhidmatan Bas Percuma di Persiaran Perdana, Presint 2 di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Naib Presiden Perkhidmatan Bandar, Datuk Azizi Ahmad Tarmizi.

Menurut Rosida, buat masa ini, perkhidmatan tersebut dikendalikan Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) bermula dengan 10 buah bas.

“Pengendali juga akan membuat penambahan bas sehingga menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 40 buah bas iaitu 37 buah bas diesel dan tiga bas elektrik secara berperingkat bermula tahun hadapan,” katanya.

Kata Rosida lagi, kemudahan bas ini melibatkan 12 laluan dan merangkumi kesemua laluan bas Nadi Putra sedia ada.

“Laluan dan kekerapan bas Nadi Putra juga telah dibuat penyusunan semula di sekitar Putrajaya bagi meningkatkan perkhidmatannya.

“Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 yang diperkenal, bermula di Kompleks E dan akan melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3)
sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.

“Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak bermula pukul 6.30 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 6.40 petang.

“Selain itu, bas tersebut beroperasi setiap 10 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit untuk waktu malam, hujung minggu atau cuti umum,” katanya.

Ujar Rosida, bagi 11 laluan berikutnya, perkhidmatan itu akan melalui kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4 dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak.

“Bas itu juga akan beroperasi setiap 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

Beliau berkata, dua buah hentian di Kompleks E, Presint 1 dan di Dataran Gemilang, Presint 4 juga dijadikan sebagai transit.

“Ia akan menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan perkhidmatan yang lain bagi memudahkan penumpang,” katanya. – WILAYAHKU

ROSIDA menyatakan keadaan dalam bas percuma kepada pegawainya.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas