Berita

Barang kemas, wang tunai disamun tengah jalan

KENDERAAN mangsa dibakar dan ditinggalkan di kawasan Damansara, Petaling Jaya. KENDERAAN mangsa dibakar dan ditinggalkan di kawasan Damansara, Petaling Jaya.
- Diterbit 22 September 2020 2:35 AM MYT

JURUJUAL sebuah syarikat pengedar emas di Kuala Lumpur berputih mata selepas wang tunai dan barang kemas bersama kereta yang dinaiki disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di Lebuhraya Besraya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, mangsa dan rakannya cedera selepas disentap keluar sejurus cermin kenderaan dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi sebelum dihalang dua pacuan empat roda.

“Tiga lelaki yang bersenjatakan parang menghampiri kenderaan mangsa dan memecahkan cermin kenderaan itu sebelum menarik jurujual berkenaan serta rakannya keluar dari kenderaan terbabit.

“Suspek kemudian terus melarikan kereta mangsa bersama barang kemas dan wang tunai di dalam kenderaan itu. Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat terkena serpihan cermin dipecahkan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, menurut mangsa, semua suspek berbadan besar memakai baju lengan panjang dan memakai topeng ski.

“Difahamkan mangsa mempunyai urusan jual emas kepada beberapa kedai emas di Kuala Lumpur.

“Hasil maklumat awal, kereta mangsa ditemui di kawasan Damansara, Petaling Jaya, Selangor dalam keadaan terbakar,” katanya yang memaklumkan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, usaha memburu suspek yang terbabit dalam kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi enam saat menunjukkan beberapa lelaki memakai topeng ski dilihat menarik seorang lelaki dipercayai mangsa keluar dari kenderaan itu tular di media sosial, hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas