Berita

Bantuan Wilayah Cakna disalur sebelum 10 April

ANNUAR (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada wakil penerima (dua kanan) yang terjejas akibat wabak Covid-19, Mohd. Yaakob Ahmad di Komplek PPJ hari ini.
- Diterbit 2 April 2020 7:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Keseluruhan peruntukan Inisiatif Wilayah Cakna Kementerian Wilayah Persekutuan khusus untuk membantu golongan miskin bandar, penjaja dan petugas barisan hadapan yang terkesan akibat wabak Covid-19 adalah RM100 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, jumlah tersebut termasuk pengecualian bayaran sewa yang asalnya dikecualikan sebulan.

“Bila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian enam bulan, kita buat pelarasan. Bila pelarasan, dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) misalnya, setiap satu bulan kita kecualikan itu bermakna RM5 juta kutipan perlu dikecualikan.

“Itu satu bulan, kalau enam bulan tentu saja RM30 juta kemudian dicampurkan lagi dengan Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

“Total masa saya umumkan Wilayah Cakna adalah RM63.6 juta, kemudian kita selaraskan dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Kementerian Wilayah Persekutuan menanggung RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas simbolik penyerahan bantuan makanan kepada golongan asnaf dan B40 Putrajaya di Kompleks Perbandanan Putrajaya (PPj) hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, pelarasan penerima juga dilakukan di semua agensi terlibat supaya tidak ada pertindihan selain memastikan tiada yang terpinggir.

“Daripada bantuan pek makanan kepada ‘one-off’ (RM500) yang diberi. Kita kena uruskan transaksi untuk 100,000 penerima, ia mesti dilakukan dengan baik dan berharap dalam tempoh satu minggu atau pada 10 April, semua penerima dapat,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas