Berita

Bantuan Sekolah YWP ukir senyuman ibu, pelajar

TIGA orang pelajar bergambar bersama beg sekolah dan wang tunai RM100 yang diterimanya pada Program Bantuan Khas Persekolahan di Dewan Yayasan Wangsa Perdana, pada Khamis.
- Diterbit 1 Julai 2022 3:03 AM MYT

BANTUAN ini sedikit sebanyak membantu keluarga saya dari segi pendapatan untuk membeli kelengkapan sekolah anak, terima kasih di atas pemberian ini,” ujar ibu kepada salah seorang penerima Bantuan Khas Persekolahan Yayasan Wilayah Persekutuan 2022 di Dewan Yayasan Wangsa Perdana, Pada Khamis.

ERNAWATY SELAMAT

Ernawaty Selamat, 46, berkata dia bersyukur apabila anaknya terpilih untuk menerima sumbangan ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pemberian ini.

“Terima kasih Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), YWP dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu kerana cakna dengan keadaan dan keperluan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) seperti kami.

“Anak saya mendapat satu unit beg sekolah dan wang tunai bernilai RM100 yang mana ia sangatlah membantu dari segi menambah apa-apa keperluan lain yang tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui Wilayahku selepas Majlis penyerahan Sumbangan tersebut.

NORLIDA ALI

Sementara itu, Norlida Ali, 35 turut bersyukur dan gembira apabila dua orang anaknya juga mendapat sumbangan ini serta mengharapkan inisiatif terbaik ini akan diteruskan pada masa hadapan.

“Saya merupakan seorang suri rumah dan suami bekerja sendiri. Sumbangan ini sememangnya membantu kami berdua terutama dari segi pendapatan kerana penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan kami sekeluarga.

“Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KWP, YWP serta MPP parlimen Batu yang tidak putus-putus mengukir senyuman di wajah masyarakatnya serta peka dengan keperluan dan keadaan rakyat,” kongsinya.

Program Bantuan Khas Persekolahan YWP yang berlangsung selama dua hari bermula semalam ini melibatkan kerjasama MPP Parlimen Batu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyalurkan sumbangan kepada 500 pelajar terpilih.

Ia diberikan secara berperingkat yang mana seramai sumbangan dihulurkan terlebih dahulu kepada 350 penerima pada 29 Jun (Rabu) dan diteruskan kepada 150 penerima lagi pada malam semalam (Khamis). –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas