Berita

Bantuan Covid-19, Labuan tidak dipinggirkan

- Diterbit 29 Mac 2020 2:28 PM MYT

LABUAN – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang dalam fasa akhir menyediakan misi bantuan Covid-19 untuk pihak terjejas di wilayah ini yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Seperti sedia maklum, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu menyaksikan KWP telah menyediakan Inisiatif Wilayah Cakna bagi membantu warga Wilayah Persekutuan dalam menguruskan impak penularan wabak Covid-19.

“Ia termasuk inisiatif yang akan dipanjangkan ke Labuan untuk membantu mereka yang terjejas sepenuhnya, penjaja, peniaga dan individu berkaitan,” kata Perbadanan Labuan dalam kenyataannya hari ini.

Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut  jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dari pelbagai sudut tanpa mengira bangsa, kaum, agama dan geografi.

“Semoga dengan cabaran ini, kita akan mampu bertahan dan membantu kerajaan dalam memberi kerjasama baik dalam mematuhi PKP yang telah digariskan,” katanya.

Wilayahku difahamkan PL telah meluluskan peruntukan sejumlah RM2.7 juta untuk bantuan Covid-19 yang dijangka diumum dalam masa terdekat.

Ini termasuk membantu kira-kira 1,300 peniaga kecil dan penjaja.

Dalam inisiatif Wilayah Cakna yang diumumkan sebelum ini, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk bayaran one off RM500 kepada golongan peniaga kecil di Labuan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas