WK2

Bantuan barangan keperluan asas tumpuan utama NGO

PASUKAN Madad Centre mengangkat keluar barangan yang ingin disumbangkan kepada mangsa banjir Taman Sri Muda, Shah Alam.
- Diterbit 25 Disember 2021 1:00 AM MYT

MUSIBAH bertimpa yang melanda seluruh rakyat Malaysia sejak pandemik COVID-19 telah membuka lembaran baharu kepada beberapa Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk terus tampil menghulurkan bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan.

Tidak terkecuali, bencana alam di Taman Sri Muda, Shah Alam yang telah menjejaskan kehidupan ribuan penduduk di sini membuka peluang kepada NGO, Murtadha Dakwah Centre atau Madad Centre yang berpusat di Sungai Petani, Kedah untuk turun membantu menyumbangkan barangan keperluan asas dan pengurusan diri buat mangsa bencana banjir.

RIDZUAN OSMAN

Ketua Operasinya, Muhammad Ridzuan Osman,34 berkata, pasukannya telah membekalkan beberapa bantuan terutama peralatan menyelamat dan juga bahan makanan.

“Untuk operasi menyelamat, kami bawa sebanyak empat buah bot dan lapan unit enjin bot. Untuk barang makanan, kami membekalkan bahan-bahan mentah, barang kering seperti makanan, minuman termasuklah pakaian, susu serta lampin bayi dan dewasa.

“Kesemua bantuan ini disumbangkan secara langsung di pejabat pengurusan. Setakat ini kami telah berjaya mengumpul barangan sebanyak empat lori untuk dibawa ke sini,” katanya kepada Wilayahku di Taman Sri Muda pada Selasa.

Katanya, operasi yang disertainya ini sebagai membalas budi warga Lembah Klang yang pernah membantu kawasan tempat tinggalnya
yang turut ditimpa bencana itu satu ketika dahulu.

“Saya bersemangat ingin membantu kerana sewaktu banjir di tempat kami, NGO di Selangor lah yang datang membantu. Jadi bila mereka susah, kami pula yang datang,” katanya.

Sementara itu, Pengusaha Juice King yang beroperasi di Shah Alam, Hanafi Junid berkata, sumbangan daripada pihaknya tertumpu kepada makanan seperti buah-buahan serta sumbangan masyarakat setempat.

“Ada di antara mereka yang meminta kami membawa barangan bantuan tersebut dari hari pertama banjir dan kami telah hantar ke Padang Jawa, Seksyen 23 Shah Alam, Kota Kemuning, dan Jalan Kebun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas