Berita

Bantu susun pusat tahfiz di KL

MUDIR Maahad Tahfiz Sentral Utama, Mohd. Azhari Umar Baki (tengah) bergambar bersama pelajar-pelajarnya di pusat pengajian itu di Bukit Kerinchi, Pantai Dalam. -NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 4 Oktober 2019 4:13 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Kerajaan sekali lagi menegaskan tidak akan menutup pusat tahfiz yang tidak memenuhi aspek keselamatan sebaliknya menyusun semula dan membantu menambahbaik dengan menyediakan tapak alternatif baharu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, hasil mesyuarat tentang penyelarasan penempatan semula pusat tahfiz di Kuala Lumpur adalah pusat berkenaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kekal tetapi ditambah baik dan tukar lokasi penempatan.

Jelas beliau, sebanyak 25 pusat tahfiz dikekalkan di tapak asal dan perlu ditambah baik bagi memenuhi aspek keselamatan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pusat tahfiz ber­kenaan perlu diberi konsultasi secara ber­terusan bagi mem­boleh­kan pe­ngusaha mendapatkan kebenaran perancangan, kelulusan pelan bangunan dan kelulusan kebombaan serta pembaikan struktur.

“Bagi lima pusat tahfiz lagi, dua daripadanya akan digabung, sebuah pusat kekal di tapak asal dengan pemajunya membina bangunan baharu dan selebihnya ditukar ke lokasi lain,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Khalid, DBKL dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan mencari tapak alternatif dan membeli bangunan asal pusat tahfiz terlibat.

Jelas beliau, wang hasil belian tersebut akan digunakan untuk membayar kos bagi membangunkan pusat tahfiz terlibat di tapak baharu selain menambah baik infrastruktur supaya sesuai dengan terma institusi.

“Status tanah akan ditukar kepada tanah institusi. Pada masa ini semua pemilik pusat tahfiz bersetuju tetapi DBKL akan berjumpa semula pemilik terlibat dan berbincang secara terpirinci berkenaan harga serta lain-lain perkara,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa kes membabitkan aspek keselamatan pusat tahfiz berlaku antaranya kebakaran yang mengorbankan 24 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 2017.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas