Berita

Bantu sekolah ditubuhkan rakyat Palestin

KHALID menerima cenderahati yang disampaikan Ismail Haniyeh dalam pertemuan mereka di pejabat PCOM, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 31 Januari 2020 7:51 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad bersetuju dengan permintaan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh agar pihaknya dapat memberikan sokongan dan bantuan kepada sebuah sekolah yang dibuka oleh warga Palestin di sini.

Permintaan tersebut dinyatakan oleh Ismail Haniyeh dalam kunjungan hormat Khalid ke atas pemimpin Palestin tersebut baru-baru ini.

Sekolah yang diberikan nama sebagai Al-Aqsa Integrated School itu telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu kini mempunyai kira-kira 240 orang pelajar melibatkan anak-anak warga Palestin yang tinggal di negara ini.

Khalid berkata, sebelum ini pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kewujudan sekolah tersebut.

“Saya harap dapat melawat sekolah tersebut nanti,” katanya.

Difahamkan sekolah tersebut didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan menyediakan pembelajaran agama, bahasa, sains dan teknologi.

Selain itu, sekolah tersebut juga menempatkan kanak-kanak pelarian dari negara lain seperti Somalia.

Terdahulu pertemuan antara Khalid dan Ismail Haniyeh mengimbau kembali pertemuan kali pertama ketika Ahli Parlimen Shah Alam itu berjaya memasuki Gaza, Palestin pada tahun 2012 bersama sekumpulan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyampaikan bantuan daripada rakyat Malaysia.

Pertemuan selama 30 minit di Pejabat Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) di sini berlangsung penuh mesra.

Ismail Haniyeh yang mengadakan kunjungan selama enam hari di Malaysia sempat berkongsi perkembangan terbaru melibatkan Hamas dan cabaran yang mereka hadapi ekoran perubahan politik di Asia Barat.

Pada hujung pertemuan tersebut, Khalid dan Ismail Haniyeh saling bertukar cenderahati. Pada pertemuan tersebut, Khalid turut menyerahkan sumbangan pemberian khas untuk membantu rakyat Palestin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas