Berita

Bantu Melur, Wira dan Hebat

ANAK Harimau Malaya yang berjaya dibiakkan di Zoo Negara.
- Diterbit 20 September 2019 2:28 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM363,285 kepada Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) bagi melaksanakan Program Pemuliharaan Spesies Terancam ‘Selamatkan Si Belang’.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya bersetuju menyumbangkan RM40,365 setahun bagi se­tiap ekor anak harimau itu untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Jumlah kos bagi tiga tahun adalah sebanyak RM121,095 dan ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami bagi me­wujudkan kesedaran pada orang ramai untuk memulihara Harimau Malaya yang semakin terancam pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara DBKL yang diwakili Nor Hisham dan MZS diwakili pre­sidennya Datuk Seri Zaharin Md. Arif di Zoo Negara dekat sini baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, MoU yang berkuat kuasa sehingga 2022 itu meliputi penyaluran sumbangan untuk membiayai kos penjagaan tiga ekor anak Harimau Malaya iaitu Melur, Wira dan Hebat yang lahir pada 1 Mei lalu.

Jelas beliau, kesemua kos berkenaan meliputi pembiayaan makanan, penjagaan, rawatan serta pengurusan ketiga-tiga anak harimau ter­sebut.

“Peranan DBKL bukan hanya menjayakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 dan memberi keselesaan kepada warga kota tetapi turut menjadi terapi kepada golo­ngan terbabit untuk men­ceriakan bandar raya ini serta membantu memulihara haiwan yang semakin terancam,” katanya.

Ujar Nor Hisham, hasil kajian yang dijalankan melalui 1st National Tiger Survey, hampir 75 peratus plot kajian habitat harimau dalam tempoh 2016 hingga 2018 menunjukkan bilangan Harimau Malaya kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia.

“Jika tiada tindakan drastik yang dijalankan bagi me­ngatasi masalah penurunan populasi Harimau Malaya, jangkaan Malaysia kehilangan spesies ini buat selama-lama­nya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan berlaku.

“Usaha pemuliharaan perlu giat dijalankan agar bila­ngan habitat haiwan ini dapat di­tingkatkan dengan mengambil contoh usaha negara luar yang memulihara haiwan liar seperti India dan Nepal. Kedua-dua negara ini telah berjaya meningkatkan jumlah harimau bengal.

“Pada 2009, jumlah harimau di Nepal hanyalah berjumlah 120 ekor sahaja tetapi kini jumlah tersebut meningkat kepada 235 ekor.Begitu juga dengan Harimau Siberia yang berjumlah 20 ekor, telah meningkat kepada 500 ekor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara Dr. Mat Naim Ramli berkata, jumlah kos untuk menanggung seekor harimau dewasa di Zoo Negara adalah kira-kira RM120 sehari untuk bekalan makanan dan antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi tempoh sebulan.

“Namun, ke­tiga-tiga anak harimau itu masih lagi meminum susu ibu dan bergantung kepada kesihatan mereka untuk berkongsi makanan pejal dengan ibunya.

“Setakat ini kesihatan ibu Harimau Malaya dan ketiga-tiga bayi harimau itu sangat baik, dengan berat badan ibunya kira-kira 100kg dan kira-kira 12kg bagi setiap anak harimau itu,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas