Agama

Bantu mangsa gempa bumi di Turkiye, Syria… PasRelief sasar sumbang 10,000 rumah kontena

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) menerima replika cek sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor.
- Diterbit 25 Mac 2023 7:32 PM MYT

ATAS keprihatinan dan cakna, PasRelief menyasarkan untuk menyumbang sebanyak 10,000 buah lagi rumah kontena menerusi misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini, pihaknya telah menyumbang sebanyak 10 rumah kontena menerusi empat misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan di negara berkenaan sejak bulan lalu.

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) menerima replika cek sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor.

Beliau berkata, misi kelima kemanusiaan akan diteruskan pada Mei ini dengan kehadiran bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

“Kami akan terus menyumbang lagi rumah kontena secara berperingkat dalam masa terdekat ini memandangkan ia selesa untuk mangsa di sana kerana memiliki bilik air sekali dalam rumah itu.

“Memandangkan harga rumah kontena ini menelan kos RM30,000, kami menyasarkan dapat mengutip dana sebanyak RM3 juta untuk menyumbang 100,000 lagi rumah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria Bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, barisan tertinggi parti selain Menteri Besar dalam kalangan Pas serta Pengarah Sekretariatnya, Mohd. Yusni Matpiah.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, mengambil keberkatan Ramadan, beliau berharap lebih pihak menyumbang kepada Dana #Aid4Turkiye&Syria.

Beliau memberitahu, contoh terdapat 6,514 masjid di negara dengan meletak sasaran setiap masjid dapat menyumbang satu rumah kontena kepada mangsa gempa bumi.

“Kalau boleh kita letak sasaran satu rumah kontena disumbang oleh setiap dengan nilai kos RM30,000, dengan jumlah masjid 6,514 masjid kita mampu mencapai sasaran 10,000 rumah kontena.

“Itu belum jika pihak gereja ini tampil menyumbang, sasaran 10,000 rumah kontena boleh dicapai. Kita juga menggalakkan setiap ahli Parlimen Perikatan Nasional mencari dana untuk menyumbang ke rumah kontena.

“Benda agak mengejut apabila sumbangan rumah kontena begitu penting kerana di sana sudah memasuki musim sejuk dan khemah tidak sesuai lagi untuk mangsa gempa di Turkiye dan Syria,” katanya.

SEKITAR sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria Bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

Awal bulan lalu, Aid4Turkiye&Syria ditubuhkan oleh 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

PasRelief pula merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu yang akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas