Utama

Bantu komuniti hadapi waktu sukar – Nooris

NOORISMA ketika berucap pada majlis pelancaran program Sumbangan Barang Makanan Sempena PKP@COVID-19, di Dewan Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
- Diterbit 7 Februari 2021 11:42 AM MYT

SERAMAI 100 orang asnaf dan penduduk B40 di kawasan penempatan sekitar Bandar Tun Razak, menerima barangan keperluan hasil sumbangan peribadi Nooris, Haris dan pasukannya yang telah membantu warga serba kekurangan.

Keprihatinan golongan muda ini yang menceburi bidang perundingan hartanah di bawah Firdaus & Associate Real Estate Agency Sdn. Bhd., tampil menyantuni warga memerlukan selaras falsafah, golongan muda pewaris kepimpinan negara.

Ketua Unit Seksyen Jualannya, Noorisma Roslan berkata, inisiatif sumbangan dilaksana bertujuan membantu rakyat memerlukan terutama mereka yang berdepan tempoh sukar yang berpunca dari penularan pendamik COVID-19 ketika ini.

Katanya, menyedari ramai kalangan rakyat dalam kategori B40 tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) ketika ini amat terkesan, telah mendorong pasukannya untuk tampil berkongsi rezeki hasil pendapatan dalam perniagaan dan perkhidmatan berasaskan pemilikan aset serta hartanah.

SEBAHAGIAN daripada petugas Firdaus & Associates bersama wakil NGO, Penggerak Komuniti Negara (PKN) sebelum memulakan program sumbangan.

“Untuk hari ini, kami dan disertai NGO, Penggerak Komuniti Negara di Bandar Tun Razak (PKN-BTR) telah menjayakan Sumbangan Barang Makanan Sempena PKP@COVID-19, berfokuskan golongan asnaf dan penduduk kategori B40 yang berdepan kekangan kewangan.

“Justeru melalui bantuan barang makanan harian seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak selain telur, bihun, mee segera dan topeng pelitup muka dengan peruntukkan RM15,000 ini diharap dapat meringankan beban belanja isi rumah para penerima buat seketika.

“Berdasarkan perancangan, Insha-Allah sebanyak RM30,000 akan dibelanjakan untuk program dan aktiviti kebajikan yang akan kami laksanakannya secara berkala di lokasi berbeza,” katanya ketika ditemui Wilayahku di Flat Sri Johor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Program sama turut disertai oleh Naib Pengerusi PKN-BTR, Farouk Mohd Noor itu telah berkunjung ke 5 flat PPR iaitu Flat Sri Kota; Flat Sri Sabah; Sri Pulau Pinang dan Sri Melaka serta Flat Sri Johor, menyerahkan 20 pek sumbangan disetiap lokaliti perumahan tersebut.

Mengulas lanjut, selain menzahirkan terima kasih kepada penaja utama sumbangan, Farouk turut mengalu-alukan semua pihak sama ada korporat mahupun individu berkemampuan untuk tampil ke depan bagi menggembleng usaha membantu meringan beban kehidupan rakyat B40 yang kini sedang berdepan kesukaran.

“Kami sangat menghargai sumbangan peribadi terutamanya Nooris, Haris dan pasukannya yang bernaung bawah Firdaus & Associate Real Estate Agency kerana bermurah hati serta prihatin akan nasib golongan memerlukan di sini.

“Pendekatan ini wajar dijadikan contoh tauladan terbaik dalam membantu komuniti dan ia tidak seharusnya bergantung harap kepada kerajaan semata-mata untuk membantu.

“Semoga dengan inisiatif ini kita bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan ini malahan memberikan sinar kehidupan buat warga. Kepada penerima, syukuri setiap pemberian itu jika sudah mampu, berilah peluang kepada warga lain lebih memerlukan supaya kita saling bertoleransi serta melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

PKN-BTR merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ditubuh lebih sebulan yang lalu dengan dipengerusikan oleh Datuk Kamaruddin Jaffar yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Perkembangan NGO ini agak memberansangkan apabila telahpun disertai oleh hampir 1,000 orang ahli, setakat ini. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas