Bantu famili ketika PKP, rezeki Achey murah
ISTERI dan anak kekuatan Achey

Bantu famili ketika PKP, rezeki Achey murah

SIKAP pelawak yang juga usahawan terkenal, Achey sangat dikagumi ramai kerana sering membantu keluarga dalam apa jua situasi.

Walaupun sudah lama sepatutnya bergelar jutawan, Achey  akui komitmen terhadap keluarga terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi keutamaan. 

“Kalau campur dari tahun 2013, saya sudah jutawan tapi sejak kebelakangan ini susut sedikit pendapatan.

“Bukan hanya kesan daripada PKP, tapi saya banyak tanggungan terutama ibu bapa dan mertua.

“Adik-beradik pun kalau ada masalah kewangan saya akan tolong. Bukan saya boleh tolong semua. Saya akan tanya mereka susah dari segi apa, kalau boleh bantu saya akan bantu.

“Saya percaya insya Allah rezeki akan lebih murah jika sering membantu keluarga di saat-saat getir ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pelancaran produk makanan, Palut’s Superhero di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah,34, dilantik sebagai duta dan rakan kongsi untuk produk makanan yang tular ini. Semakin murah rezeki Achey!

NANGKA Sangrai Crispy diinspirasikan oleh Achey

Selain Achey, Turut hadir ialah Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Palut’s Food Sdn. Bhd., Ridzuan Ansar dan rakan kongsi selebriti lain iaitu Saharul Ridzwan dan Zoey Rahman.

“Alhamdulillah.. selain beberapa projek lain, saya kini duta dan juga rakan kongsi untuk bisnes makanan iaitu Nangka Sangrai Crispy bawah Palut’s Food.

“Terima kasih kepada Ridzuan kerana memberikan peluang dan kepercayaan untuk saya terus mendalami bisnes,” jelasnya.

Selain mahu terus mendalami bidang perniagaan, Achey juga berhasrat mahu membuka kedai runcit sendiri suatu hari nanti.

“Insya-Allah, saya memang sudah lama ingin menjalankan perniagaan kedai runcit. Macam Lan Solo pun ada kedai runcit.

“Tahun 2021 banyak perancangan bisnes yang terkandas. Sebelum ini saya cakap nak buka kedai aksesori motosikal namun tidak dapat dilaksanakan sebab PKP. Untuk bisnes kedai runcit, saya sudah tengok beberapa kawasan. Insya-Allah, doakan yang baik-baik,” ujarnya lagi.

Pasal nyanyian, selepas lagu Sakit, Achey akan muncul dengan lagu Sembuh tidak lama lagi. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS