Berita

Bantu anak muda bina kehidupan

KHALID (kanan) bersama Nor Hisham (kiri) meninjau ruangan yang disewa oleh Syed Luqman selepas majlis perasmian Perumahan Bandar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 31 Oktober 2019 8:52 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kewujudan Perumahan Bandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini yang telah dilancarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad baru-baru ini memberikan kelegaan kepada golongan muda yang baru memulakan kehidupan di ibu kota.

Penyewa pertama, Syed Luqman Syed Abdullah, 26, berkata, perumahan bandar itu banyak membantu dirinya memulakan kehidupan di ibu kota.

“Sebelum ini saya menetap di rumah keluarga dan perlu berulang alik dari Klang ke Kuala Lumpur.

“Perjalanan ke tempat kerja memakan masa kira-kira satu jam dan malah akan memakan masa yang lebih sekiranya keadaan hujan dan ada kemalangan” kepada Wilayahku baru-baru ini.

Kata Syed Luqman, inisiatif yang diperkenal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menepati kehendak golongan muda.

“Dengan kadar sewa serendah RM100 sebulan, ia amat berpatutan walaupun ruang yang ada perlu dikongsi dengan penyewa yang lain.

“Saya hanya perlu mengisi borang dan menyediakan wang pendahuluan sebanyak tiga bulan dan tidak perlu menunggu lama sebelum diterima menjadi penyewa di sini” katanya.

Terdahulu dalam sidang akhbar, Khalid berkata, DBKL memperuntukkan kira-kira RM2 juta untuk membangunkan projek Perumahan Bandar yang dikhususkan kepada golongan muda.

“DBKL telah mengubah suai dua blok bangunan pejabat sedia ada untuk menempatkan kediaman lelaki dan perempuan di blok berasingan.

“Pendekatan kediaman ini adalah berkonsepkan perkongsian ruang bagi memaksimakan ruang di kedua-dua premis agar boleh menempatkan penyewa seperti yang dirancang” katanya.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan.

Ujar Khalid lagi, perlaksanaan projek dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa pertama dari ‘lower ground’ sehingga tingkat empat dan fasa kedua dari tingkat lima hingga tingkat tujuh dan bumbung di kedua-dua premis.

“Untuk fasa pertama, anggaran jumlah penempatan adalah seramai 188 penyewa manakala fasa kedua pula dianggarkan seramai 123 penyewa.

“Premis ini turut disediakan ruang tamu, surau, kaunter, pejabat, dobi, ruang membaca, pantri, tandas dan tandas orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Tambah Khalid, DBKL turut membekalkan sebuah peti sejuk dan ketuhar gelombang mikro untuk kegunaan penghuni.

“Kadar sewaan yang ditetapkan kepada setiap penyewa adalah sebanyak RM 100 sebulan dan tempoh adalah minimum 12 bulan hingga 18 bulan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas