Berita

BANM Youth Start Up Project dilancar, 300 belia diseru memohon

BANM Capital melancarkan program bagi membantu 300 belia merealisasikan hasrat perniagaan. BANM Capital melancarkan program bagi membantu 300 belia merealisasikan hasrat perniagaan.
- Diterbit 8 Januari 2022 6:00 AM MYT

BAGI membantu golongan belia merealisasikan cita-cita dalam bidang perniagaan, BANM Capital melancarkan BANM Youth Start Up Project yang menawarkan peluang keusahawanan bernilai RM3 juta.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sherman Heng berkata, pelaksanaan itu sejajar penubuhan BANM Capital untuk membantu golongan belia memulakan perniagaan.

Ujarnya, BANM Youth Start Up Project bakal menawarkan peluang keusahawan bernilai RM3 juta kepada golongan belia selaras misi syarikat untuk memupuk bakat-bakat baharu, keusahawanan inovatif dan membantu golongan sasar memulakan perniagaan.

“Generasi masa kini adalah berani dan lebih sukakan cabaran, malah ada sesetengah mereka yang telah memulakan perniagaan ketika masih belajar atau sebaik sahaja tamat pengajian.

“Namun begitu, ramai di antara mereka yang tidak dapat menzahirkan impian akibat kekurangan ilmu tentang pasaran, cabaran kewangan dan kekangan sumber,” jelasnya.

Oleh itu, katanya, warganegara Malaysia yang berumur antara 21 hingga 30 tahun, diseru untuk memohon BANM Youth Start Up Project.

Ujarnya, dengan menggunakan permintaan yang besar dalam bidang makanan dan minuman sebagai titik permulaan di samping perkembangan teknologi, data raya dan pelbagai sumber lain, pihaknya berharap golongan belia yang berminat dapat diberi bimbingan seterusnya berjaya sehingga mampu menembusi pasaran Asia Tenggara.

Tambahnya, butiran lanjut dan kelayakan yang diperlukan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Projek ini adalah antara langkah pertama yang diambil untuk membantu golongan belia. BANM Capital telah menyasarkan untuk membantu 300 belia memulakan perniagaan dalam jangka masa tiga tahun dan seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan serta keusahawanan di pasaran.

“BANM Capital dijangka akan membuat lawatan ke pusat-pusat pengajian tinggi dan kelab-kelab belia untuk mempromosikan projek dan pada masa sama mengenal pasti bakat-bakat yang berpotensi.

“Syarikat juga akan menumpukan usaha untuk membangunkan jenama, mempertingkatkan khidmat layanan dan kualiti produk, membuka cawangan tambahan serta mengembangkan pasaran, untuk memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pelanggan,” katanya.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai BANM Youth Start Up Project, sila hubungi Mr Foo di talian 018-3584403 atau menghantar permohonan di bit.ly/BANMstartup. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas