Biz

Bank Islam teruskan kerjasama dengan AIM

MOHAMED IRAN MORIFF (lapan dari kiri) bergambar bersama penerima bantuan program Amal Musa’adah di Batu Pahat baru-baru ini.
- Diterbit 13 Mac 2020 7:39 AM MYT

BATU PAHAT – Bank Islam Malaysia Bhd. meneruskan kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang terjalin sejak tahun 2017 melalui Program Amal Musa’adah dengan menyediakan bantuan perniagaan kepada usahawan mikro AIM.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohamed Iran Moriff Mohd. Shariff berkata, sejak bantuan itu diperkenalkan, seramai 141 usahawan mikro AIM membabitkan golongan wanita, ibu tunggal dan asnaf menerima manfaat tersebut.

“Bank Islam telah menyalurkan bantuan kepada 36 usahawan wanita (usahanita) yang dikenali sebagai usahanita di Terengganu dengan jumlah RM92,000, 56 usahanita di Kedah, RM70,000 dan terbaru di Johor Utara sebanyak RM96,397 kepada kira-kira 49 usahanita.

“Kita akan meneruskan bantuan ini ke negeri-negeri lain bagi membantu golongan usahanita untuk mengembangkan perniagaan masing-masing di mana bantuan terbabit merupakan dana zakat Bank Islam,” katanya kepada selepas Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan Program Amal Musa’adah Zon Selatan baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat dan Kesejahteraan AIM, Mohamad Zulkahizam Mohamad Zuldin.

Kata Mohamed Iran Moriff, mereka yang terpilih dalam program tersebut adalah berdasarkan ‘Had Kifayah’ oleh Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dilaksana melalui satu proses temu duga.

Katanya, penerima bantuan berkenaan yang juga ahli AIM menerima peralatan untuk kelangsungan perniagaan seperti rak keluli, pendingin beku, mesin kuih-muih, konopi, mesin jahit dan dapur mengikut keperluan masing-masing.

“Inisiatif ini juga adalah merujuk kepada Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) sejajar dengan objektif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membasmi kemiskinan, tiada kelaparan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta pekerjaan yang memuaskan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Zulkahhizam berkata, AIM menyasarkan seramai 56,000 ahli baharu (Sahabat AIM) pada 2020, yang mana ketika ini ia mempunyai kira-kira 300,000 ahli di seluruh negara.

“Kita menyasarkan lima peratus ahli baharu berkenaan adalah golongan asnaf.

“Kita juga mempunyai satu program baharu untuk mereka agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan yang dikenali sebagai i-Syukur AIM Dihatiku yang dijangka akan dilaksana dengan kerjasama Bank Islam,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas