Berita

Bangunkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar raya unggul dan mampan

YANG di-Pertuan Agong (tengah) dan Raja Permaisuri Agong (dua kanan) berkenan bergambar bersama Perdana Menteri (dua kiri) dan isteri (kanan) serta Timbalan Perdana Menteri (kiri) selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 di Istana Negara pada Rabu lalu.
- Diterbit 3 Februari 2023 3:37 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menitahkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.

Titah baginda, bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan perlu diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan, termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta kurang berkemampuan.

Baginda pada masa sama turut menzahirkan kegusaran mengenai masalah banjir kilat yang sering melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang harus ditangani segera kerana kejadian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat, malah boleh menjejaskan kerancakan pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, pembangunan hendaklah sentiasa seiringan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan di kawasan tinggi serta berbukit, termasuk di kawasan yang menjadi tadahan hujan haruslah turut dikawal selia,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat (DKBP) Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara pada Rabu. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan penghargaan atas usaha proaktif serta inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam meningkatkan taraf hidup dan meringankan beban warganya melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya semua menteri, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” titah baginda.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan pimpinannya menyasar untuk menjadikan Wilayah Persekutuan bandar pintar menjelang 2030 yang selari dengan konsep Malaysia Madani yang memberi penekanan terhadap aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar.

Jelas Anwar, JWP turut merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar melalui beberapa program yang telah disusun.

“Ia termasuk penggunaan bas elektrik Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta pemasangan Wi-Fi di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam di Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas