Fokus

Bangunan ‘berhantu’ di tengah bandar raya

LOT-LOT kosong yang boleh dimanfaatkan oleh pihak kerajaan untuk menempatkan usahawan muda yang bersedia untuk berkembang.
- Diterbit 16 Ogos 2020 8:10 AM MYT

PEMBUKAAN kompleks-kompleks beli belah yang baharu di luar Kuala Lumpur perlu dilihat positif
kerana ia bertujuan membangunkan ekonomi di pinggir ibu kota.

Proses urbanisasi ini dilaksanakan bagi membangun kawasan-kawasan luar bandar yang berpotensi untuk dimajukan bagi menjana pertumbuhan ekonomi kepada mana-mana kawasan pinggir bandar agar ia tidak terlepas dari proses pemodenan.

Bagaimanapun, ia telah memberi kesan kepada kompleks-kompleks beli belah di pusat bandar raya sehingga ada kompleks-kompleks terpaksa ditutup dan menjadi ‘bangunan berhantu’ di tengah bandar raya.

Bagi mengulas isu tersebut Pengarah Firma Pelaburan, BAC Pakar Koperat Sdn. Bhd., Azhim Hadi Daud berkata, banyak faktor yang telah menyumbang kepada situasi ketika ini apabila banyak lot-lot komersial itu terpaksa ditutup.

“Lot-lot komersial di dalam kompleks membeli belah ini sangat kompetitif di antara satu sama lain sehingga berlaku lambakan kawasan perniagaan yang tidak dimiliki.

“Faktor yang lain pula apabila pengguna mula beralih dari berkunjung ke kompleks beli-belah dan hanya membuat urusan jual beli melalui online,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Azhim menjelaskan, faktor penguncupan ekonomi dan kesan pandemik Covid-19 ini juga telah menyebabkan kuasa beli pengguna berkurangan sehingga menyebabkan banyak perniagaan merosot dan seterusnya premis-premis ini terpaksa ditutup.

Kata Azhim lagi, ketika ini, lambakan lot-lot komersial ini melebihi daripada permintaan kerana bilangan perniagaan tidak bertambah selari dengan lot komersial yang ada.

Kata Azhim lagi, sekiranya diperhatikan, banyak kompleks membeli belah yang terkenal, mereka tidak mahu ketinggalan di belakang pesaing bagi memastikan kompleks mereka kekal relevan.

“Mereka perlu mencari jalan untuk melakukan rejuvinasi terhadap kompleks di bawah jagaan mereka kerana pengunjung mahukan perkara yang baharu.

“Di samping itu, sifat semula jadi pengguna yang kebiasaannya mahukan sesuatu yang unik dan baharu serta sekiranya pemilik kompleks memahami budaya ini, maka ia akan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai,” katanya sambil menambah hiasan atau ubah suai yang menarik akan menjadi pilihan orang ramai berkunjung ke kompleks-kompleks tersebut.

Katanya, jika penelitian dibuat terhadap semua kompleks-kompleks yang terkenal, mereka membuat analisis pasaran yang boleh menentukan produk terbaik sebelum menawarkan lot-lot komersil tersebut.

KEUNIKAN PACU TARIKAN PENGUNJUNG

Menurut Azhim, Kuala Lumpur kini mempunyai banyak kompleks-kompleks membeli belah yang baharu dan dibangunkan di beberapa bahagian termasuk di pinggir ibu kota.

“Sekarang ini sudah ada banyak kompleks yang besar dan terkenal di luar Kuala Lumpur seperti di AEON Nilai dan IOI City Mall, Putrajaya. Kebanyakan pengunjung akan ke kompleks ini untuk melihat sesuatu yang baru.

“Manakala yang lain seperti Pavilion, Mid Valley, Suria KLCC dan My Town, mempunyai kelainan tersendiri yang menyebabkan kompleks tersebut terus dikunjungi,” katanya.

Kelemahan ketara beberapa pemilik kompleks yang tidak peka terhadap pembaharuan menyebabkan bilangan pengunjung merosot dan seterusnya kehilangan penyewa dan kawasan tersebut ‘mati’.

“Ini telah berlaku kepada beberapa kompleks seperti di Maju Junction kerana tidak mempunyai kelainan kerana mereka mempunyai kedai atau jenama-jenama yang sama di tempat-tempat lain.

“Mereka patut mencari identiti dan konsep tersendiri seperti di The Curve, Damansara, mereka mempunyai Street Bazar, Malakat Mall yang memperkenalkan konsep pusat perniagaan islam yang moden.

“Kompleks membeli belah The Link Intermark pula dibina sebagai ‘lifestyle mall’ yang membantu penduduk sekitar kawasan tersebut. Oleh yang demikian, mereka boleh mendapatkan pelanggan dan banyak benda yang dijual di situ adalah unik dengan julat harga tertentu yang bersesuaian dengan kawasan tersebut,” katanya.

TINGKAH LAKU PENGGUNA

Menurut Azhim, gaya hidup moden yang diamalkan terutama berbelanja secara online turut menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan perniagaan di kompleks-kompleks membeli belah.

“Sekiranya di Amerika Syarikat dan England, banyak kompleks-kompleks membeli belah telah ditutup kerana terjejas dengan budaya membeli-belah dalam talian sejak dua atau tiga tahun yang lalu.

“Di Malaysia, trend ini sudah semakin meningkat terutama selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan berlaku transaksi yang tinggi secara atas talian.

“Malah restoran-restoran di Lembah Klang mengakui menerima tempahan secara atas talian melalui aplikasi sebanyak 50 peratus daripada jualan harian. Jadi sebenarnya kedai itu hanya menunjukkan perniagaan itu wujud dan dapur yang ada digunakan untuk penghantaran dan inilah trend terkini yang diamalkan oleh peniaga makanan.

Kata Azhim, kehadiran social media influencer yang ramai ketika ini turut menyebabkan orang ramai beralih kepada pembelian atas talian dan seterusnya menyumbang kepada penutupan premis perniagaan.

“Mereka (social media influencer) banyak memberi daya tarikan kepada produk-produk melalui platformyang tertentu sehingga mempengaruhi tingkah laku pengguna.

“Malah, melalui tarikan yang ada, kebanyakan pengguna banyak melakukan pembelian atas talian dan tidak terhad kepada makanan, malah fesyen serta barangan keperluan diri turut dibeli melalui atas talian.

“Bila perkara ini berlaku, banyak percambahan dari segi perniagaan makanan yang tidak memerlukan premis perniagaan dan mereka beroperasi dari dapur rumah masing-masing sahaja. Banyak usahawan yang baru muncul kini beralih terhadap perniagaan secara maya yang tidak memerlukan premis atau dikenali sebagai ekonomi gig,” katanya.

KERAJAAN PERLU MANFAATKAN PREMIS TERBIAR

Menurut Azhim, bagi menyelesaikan masalah tersebut, pihak kerajaan perlu bertindak proaktif agar ‘seri’ Kuala Lumpur dapat dikembalikan dan memanfaatkan premis tersebut.

“Kita mengetahui tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kerajaan amat besar. Namun mereka perlu berganding bahu dengan pelbagai pihak termasuk GLC dan agensi yang berkaitan dengan keusahawanan demi menyediakan platform kepada usahawan.

“Kerajaan juga boleh memberi insentif seperti pelepasan cukai, geran pembangunan perniagaan atau skim galakan kepada pemain industri ekonomi gig ini untuk mereka berkembang dengan menyediakan premis-premis perniagaan kepada mereka dengan kadar sewaan yang munasabah,” katanya.

Ujar Azhim lagi, pihak kerajaan perlu mencari satu mekanisme dan menyediakan infrastruktur dan ekosistem perniagaan kepada usahawan ekonomi gig ini.

“Perniagaan orang Melayu ini perlu ada tempat yang sesuai untuk maju berkembang. Jadi, ini perlu dilakukan agar pengusaha gig ekonomi ini dapat berkembang dan maju.

“Sekiranya mereka boleh beroperasi daripada premis perniagaan yang komersil, lebih ramai pelanggan akan mencari dan seterusnya nilai jualan akan meningkat dan jenama mereka juga dapat berkembang berbanding kemampuan sedia ada di mana mereka beroperasi di rumah,” katanya.

Ujar Azhim, kementerian yang terlibat perlu mengenal pasti usahawan yang berjaya di media sosial dan menawarkan kepada mereka lot-lot komersil ini.

“Kedudukan kompleks yang strategik memerlukan sedikit pembaharuan dengan rekabentuk yang kontemporari agar ia boleh menarik kehadiran orang ramai.

“Dengan mengumpulkan usahawan media sosial,
secara tidak langsung ia dapat membantu meningkatkan lagi nilai komersil kompleks tersebut dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada warga kota dan anak muda yang mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas