Berita

Bangladesh bakal import minyak dari India guna saluran paip mulai tahun depan

- Diterbit 21 November 2022 5:50 AM MYT

PERDANA Menteri Sheikh Hasina berkata Bangladesh berkemungkinan mula mengimport minyak melalui saluran paip dari negara jiran India pada 2023, lapor Agensi Anadolu.

“Bangladesh mahu mengimport minyak dari India melalui saluran paip dan berharap dapat melaksanakannya pada tahun depan,” kata beliau selepas pertemuan dengan speaker Dewan Undangan Assam, Biswajit Daimary di sini.

Perdana Menteri India Narendra Modi dan Hasina merasmikan kerja-kerja pembinaan projek Saluran Paip Persahabatan India-Bangladesh (IBFPL) sepanjang 130 kilometer pada 18 Sept 2018 bagi  memudahkan pengangkutan minyak yang diimport dan mengurangkan kos pengangkutan untuk Bangladesh.

Projek itu disasarkan siap menjelang Disember tahun ini. Menurut laporan media, pegawai kedua-dua negara memberi jaminan bahawa lebih 90 peratus projek itu sudah siap pada September.

Projek itu akan membolehkan minyak dieksport dari Terminal Pemasaran Siliguri India di Bengal Barat ke Bangladesh.

Buat masa ini, minyak yang diimport oleh Bangladesh dipunggah dari kapal di pelabuhan utama di daerah Chattogram dan kemudian diangkut ke bahagian lain dengan kapal tangki yang mengambil masa dan kos lebih mahal.

Menurut perjanjian Dhaka-Delhi, di bawah fasa pertama bahan api itu akan diangkut selama 15 tahun melalui saluran paip dan tempoh itu akan dilanjutkan atas persetujuan kedua-dua negara.

Susulan krisis bahan api di Bangladesh, projek itu dijangka meningkatkan pertumbuhan perniagaan jangka panjang dan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pada pertemuan itu dengan delegasi India, Hasina berkata pasaran yang terletak di pelbagai bahagian sempadan antara Bangladesh dan India akan kembali berfungsi tidak lama lagi selepas terhenti susulan pandemik COVID-19 pada akhir 2019. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas