Berita

Bajet MAIWP 2023 meningkat RM1.4b

MOHD Daud (tengah) selepas sidang Pembentangan Bajet 2023 MAIWP di Dewan Seminar, PERKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
- Diterbit 26 November 2022 2:00 AM MYT

ANGGARAN perbelanjaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun depan meningkat sebanyak 13.54 peratus kepada RM1.448 bilion berbanding RM1.28 bilion pada 2022.

Ketika membentangkan Bajet MAIWP 2023, Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata daripada anggaran perbelanjaan itu, ia termasuk perbelanjaan pengagihan sebanyak RM1.18 bilion, anggaran pengurusan RM199.55 juta dan pembangunan berjumlah RM70.78 juta.

“Fokus utama perbelanjaan pengurusan memberi penekanan kepada aspek kecekapan, kompetensi dan peningkatan mutu perkhidmatan MAIWP selari dengan teknologi.

“Perbelanjaan pembangunan merangkumi aktiviti fizikal pembangunan, pembelian aset, pembangunan hartanah dan pelaburan,” katanya pada sidang media Bajet 2023 MAIWP baru-baru ini.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan bagi 2023 berdasarkan peningkatan kutipan zakat dengan anggaran pendapatan zakat berjumlah RM1.286 bilion atau 15.7 peratus berbanding tahun ini yang berjumlah RM1.11 bilion.

Jelasnya, MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion, manakala selebihnya merupakan anggaran pendapatan daripada sumber lain seperti sewaan, yuran pengajian serta pelaburan dan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan.

“Tahun depan kami memperuntukkan perbelanjaan agihan zakat kepada asnaf sebanyak RM1.177 bilion, perbelanjaan pengurusan RM199 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM70.7 juta.

“Bajet defisit disediakan melalui pencairan rizab simpanan dan wang tunai sebanyak RM162.12 juta untuk 2023. Bajet itu dijangka melebihi jumlah anggaran pendapatan 2023,” katanya pada sidang akhbar Bajet 2023 MAIWP pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Daud berkata sejumlah RM50 juta akan disalurkan kepada 73,895 asnaf sehingga hujung tahun ini menerusi Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani.

Menurutnya, bantuan tersebut bertujuan untuk menyantuni semua asnaf di Wilayah Persekutuan, berikutan cabaran krisis makanan dan bahan tenaga yang berlaku kini. Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani berjumlah RM50 juta disalurkan sehingga akhir tahun ini bagi menyantuni semua asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Seramai 30,000 orang penerima Bantuan Kewangan Bulanan akan menerima bantuan zakat khas RM1,000 seorang di mana RM250 telah dibayar pada Ogos lepas, manakala baki sebanyak RM750 akan dibayar pada Disember ini.

“Bantuan Am Persekolahan sebanyak RM200 juga akan disalurkan kepada 36,750 orang pelajar manakala 6,600 penerima akan mendapat zakat khas Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM500,” katanya.

Tambah Daud lagi, semua bantuan akan disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang ada dalam pangkalan data MAIWP dan menjangka seramai 2,000 asnaf akan dikeluarkan daripada garis kemiskinan sehingga penghujung tahun ini.

Sementara itu, Mohd Daud turut berkata 530 buah institusi termasuklah sekolah rendah, menengah, KAFA, Tahfiz di seluruh Wilayah Persekutuan akan menerima RM30,000, bagi membiayai pelaksanaan aktiviti pelajar asnaf dan pembaikan infrastruktur.

15 buah hospital turut disalurkan Bantuan Khas Tabung Kebajikan Hospital dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM950 ribu untuk menampung kos-kos rawatan asnaf.

Bermula Januari hingga Oktober 2022 sahaja, MAIWP telah mengagihkan hampir RM700 juta dana zakat menerusi bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada asnaf yang memerlukan.

“Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar ini berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil daripada komitmen para pembayar zakat di dalam dan luar Wilayah Persekutuan.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pembayar zakat, kerana dengan zakat anda, MAIWP dapat melaksanakan amanah dengan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas