Berita

Bajet 2023 makmurkan warga WP

- Diterbit 14 Oktober 2022 9:13 AM MYT

BAJET 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 7 Oktober merupakan belanjawan yang menepati kehendak rakyat seiring dengan tekad: “Keluarga Malaysia: Makmur Bersama”. Dengan memperuntukkan sejumlah lebih RM372.3 bilion ia merupakan bajet tahunan tertinggi di dalam sejarah negara.

Pastinya kerajaan telah mengambil kira beberapa faktor untuk merealisasikan bajet ini terutama bagi pemulihan ekonomi COVID-19 melibatkan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion yang mampu menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021 hingga 2025 sekali gus mencapai objektif Keluarga Malaysia makmur, inklusif dan mampan.

Seiring agenda Bajet 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis, ia akan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan selain bersifat inklusif serta menyentuh semua Keluarga Malaysia sebagai paksi kepada struktur bajet ini.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerima keseluruhan bajet keseluruhan berjumlah RM675.3 juta. Perbelanjaan mengurus yang merangkumi emolumen; perkhidmatan dan bekalan; pembelian aset; pemberian dan kenaan bayaran tetap dan perbelanjaan-perbelanjaan lain membabitkan implikasi perbelanjaan RM260.56 juta.

Di bawah sektor tersebut program kedua, Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar melibatkan bajet berjumlah RM148.5 juta, kerajaan menetapkan beberapa perkara iaitu meningkatkan taraf hidup dan kualiti persekitaran penduduk bandar yang selesa melalui beberapa program termasuklah mengurangkan kadar kemiskinan bandar, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan pemilikan Residensi Wilayah yang dibina bagi golongan berpendapatan sederhana rendah serta tadbir urus komuniti yang berkesan dan memenuhi keperluan setempat (Community Governance) menerusi pelaksanaan program di bawah inisiatif Wilayah Peduli.

Menerusi bajet tersebut, MoF memperuntukkan RM35.3 juta bagi Program Perancangan Dan Pembangunan, Program Khusus di Putrajaya iaitu Penyelenggaraan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), RM5 juta, Dataran Pahlawan Negara, RM3 juta dan Penyelenggaraan Bas, RM4.5 juta. Selain itu, sebanyak RM4 juta diperuntukkan kepada Personel Mystep dan Program Diskaun Tambang Feri di Labuan diteruskan dengan bajet RM7 juta membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.1 juta.

KWP turut akan memberikan bantuan program one-off berjumlah RM3 juta iaitu bagi menaik taraf Terminal Feri Antarabangsa Labuan sebanyak RM2 juta dan pembaikan infrastruktur awam sebanyak RM1 juta.

Di bawah sektor yang sama, terdapat lima aktiviti yang digariskan iaitu Sosioekonomi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) yang masing-masing berfungsi untuk melaksanakan program dan aktiviti pembangunan insan, perumahan mampu milik dan pengurusan penjaja dan peniaga kecil, penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam serta memastikan kecemerlangan sukan di Wilayah Persekutuan.

MoF juga telah memperuntukkan sebanyak RM414.79 juta bagi tujuan pembangunan yang merangkumi Projek Perkongsian Awam Swasta sebanyak RM99.69 juta, Projek Jalan dan Jambatan di Kuala Lumpur, RM23 juta; Projek Pembangunan di Labuan, RM22.9 juta; Projek Pembangunan di Putrajaya, RM49.2 juta dan Projek Baik Pulih Sungai di Kuala Lumpur sebanyak RM10 juta.

Melalui sektor tersebut, agensi di bawah KWP, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) terus diperkasakan bagi merancang dan menggalakkan aktiviti pembangunan di Kampung Baru dan pada masa sama memberikan khidmat nasihat bagi mengekalkan warisan dan budaya Melayu manakala Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) mewujudkan sistem pentadbiran tanah yang lebih cemerlang serta meningkatkan jalinan kerjasama pelbagai sektor di Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas