Berita

Azrone dedah ilmu kewartawanan, elak berita palsu

Pendedahan kepada penulisan berita dan rencana Mohd. Azrone (tengah) membolehkan Siswa Guru IPGKIK menulis berita menepati kehendak media.
- Diterbit 13 Mac 2020 8:53 AM MYT

BANDAR TUN RAZAK – Belajar menulis berita biarlah dengan wartawan bagi memastikan artikel dihasilkan bermutu tinggi dan menepati kehendak media.

Ia juga bagi memastikan artikel berkenaan tidak bercanggah dengan etika kewartawanan dan mengelak penulisan berita palsu sama ada menerusi media massa atau media sosial.

Justeru, baru-baru seramai 120 siswa guru Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) di sini, didedahkan dengan penulisan berita sebenar hasil bimbingan pene­rima Anugerah Kewartawanan Kinabalu Shell dan Kerajaan Sabah 2006, Mohd. Azrone Sarabatin.

Peserta terbabit adalah Pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) untuk kursus Bahasa Melayu Kontekstual.

Ia adalah sebahagian pengisian program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).

Pensyarah Cemerlang IPGKIK, Norani Abd. Rahim berkata, siswa guru terbabit didedahkan dengan penulisan berita dan rencana yang mencakupi konsep 5W dan 1 H (Siapa, Apa, Di Mana, Bila, Mengapa dan Bagaimana), piramid terbalik dan cabaran media masa kini.

Beliau berkata, peserta juga didedahkan dengan keistimewaan bidang kewartawanan khususnya untuk membantu memartabatkan pendidikan ne­gara dan pendedahan isu untuk tindakan pihak berkuasa.

“Peserta amat tertarik kerana mereka dapat berkomunikasi secara langsung bersama seorang wartawan berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang media.

“Malah, ketika sesi penutup mereka mendapat kata sema­ngat daripada guru bertaraf dunia dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Dr Mohd Sirhajwan Idek yang disampaikan menerusi rakaman audio,” katanya pada majlis berkenaan di IPGKIK.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas