Selebriti

Ayu Damit sambung belajar di ASWARA, tidak abai bisnes

- Diterbit 27 Ogos 2021 2:20 PM MYT

PENYANYI dan usahawan terkenal, Ayu Damit kini sedang menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menurut Ayu atau nama penuhnya Norayu Damit, 32, tawaran tersebut diterimanya bulan lalu dan kini sesi pengajian telah pun bermula sejak 2 Ogos lalu.

“Alhamdulillah saya kira ini satu peluang yang sukar untuk dilepaskan. Sebelum mengikuti pengajian dalam program Asasi Seni Kreatif, saya terlebih menghadiri sesi temu duga.

“Syukur, saya diterima dan tempoh pengajian selama tiga semester (setahun). Insha-Allah doakan semuanya dipermudahkan,” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana persediannya dalam mengikuti pengajian, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Hanya Di Mercu ini merasakan dia perlu mempunyai ilmu dalam bidang yang berkait rapat dengan karier.

“Saya tak malu untuk mengaku diri ini kurang pengetahuan serta asas dalam hal berkaitan dengan muzik, ‘main’ menyanyi sahaja sebelum ini. Paling tidak, bila belajar sekurang-kurangnya ilmu yang dipelajari itu boleh diaplikasikan dalam kerjaya seni saya selepas ini.

“Impian untuk ke arah itu memang sudah lama cuma rasanya sekarang adalah waktu paling sesuai sementelah banyak aktiviti bisnes pun di lakukan dari rumah. Jadi mengapa tidak untuk saya ambil peluang,” katanya.

Ayu pada masa sama turut menerima sokongan penuh dari suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin.

“Suami tidak menghalang, sebaliknya dia yang paling banyak beri kata semangat. Cuma pesannya, perlu pandai membahagikan masa.

“Iyalah, kami sama-sama ada bisnes dan dia pun tahu saya ada beberapa bisnes lain yang dilakukan sekarang. Mana nak uruskan perniagaan kek pisang, kuih bahulu dan ladang cilikan? Saya pun perlu uruskan keluarga dan anak-anak.

“Bagaimanapun setakat ini semuanya berjalan lancar. Kek pisang pun saya siapkan mengikut jumlah tempahan,” katanya yang gembira andai usahanya itu mampu menjadi inspirasi kepada orang lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas