Berita

Autoriti agama perlu pantau pendakwah, elak sentuh isu 3R

PIHAK berkuasa agama negeri-negeri mestilah bertindak proaktif dengan menerangkan kepada umat Islam mengenai bahaya budaya tersebut. Kredit foto: JAWI
- Diterbit 1 Disember 2023 12:05 AM MYT

BUDAYA takfiri atau kafir-mengkafir dalam kalangan penyokong kelompok tertentu jelas menunjukkan peningkatan dan kini ia berada dalam situasi amat membimbangkan.

Menurut Peguam Kanan, Dr Zulqarnain Lukman, isu berkenaan adalah antara cabang jenayah berunsur 3R (Bangsa, Agama dan Raja) dan telah mula berkembang serta membimbangkan kerana ia bakal mempengaruhi perpaduan nasional.

ZULQARNAIN

“Apabila gejala takfiri tidak dipantau dengan berkesan oleh pihak berautoriti agama, maka ada sesetengah asatizah atau pendakwah yang mengajar di masjid-masjid juga terikut-ikut dengan gejala takfiri,” katanya kepada Wilayahku.

Menjelas lanjut, gejala takfiri adalah manifestasi daripada fahaman khawarij yang ia sendiri berasal daripada orang yang warak dan ahli ibadah tetapi tidak memahami isu politik.

“Fahaman khawarij inilah yang menyebabkan mereka terpesong dan menyanggah Khalifah Islam keempat, Saidina Ali sebagai khalifah dan menjadikan isu politik sebagai isu akidah umat Islam,” katanya.

Zulqarnain berkata Kerajaan Persekutuan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu memanggil mesyuarat bersama dengan pihak berautoriti agama di negeri-negeri untuk membincangkan isu ini dengan lebih tuntas.

Jelas beliau, kebanyakan Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri sudah mengkanunkan kesalahan takfiri ini bagi membendung kelompok dan budaya berkenaan.

“Umpamanya, Sekyen 6 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 menyatakan kesalahan takfiri itu sebagai kesalahan mengatakan atau mengaitkan atau melalui kata-kata, sama ada secara lisan atau tulisan atau dengan isyarat atau dengan gambaran tampak.

“Ia juga termasuklah dengan apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakukan atau dengan mengelolakan, menganjurkan atau mengaturkan apa-apa kegiatan atau selainnya dengan apa-apa jua cara, bahawa mana-mana orang yang menganuti agama Islam atau orang-orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang yang menganuti agama Islam adalah orang kafir; telah berhenti menganuti agama Islam; tidak patut diterima, atau tidak dapat diterima, sebagai menganuti agama Islam atau tidak mempercayai, mengikut, menganuti atau tergolong dalam agama Islam.

“Kesalahan ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya sambil menambah dalam undang-undang sivil, Seksyen 298A Kanun Keseksaan boleh digunakan untuk menyekat penularan budaya berkenaan.

Menurut Zulqarnain, pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri perlu memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai kesalahan ini dan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa mana-mana orang Islam di Mahkamah Syariah atas kesalahan seperti ini.

“Pihak Majlis Raja-Raja juga perlu memainkan peranan dan membincangkan isu ini supaya satu polisi dapat diseragamkan dan diambil untuk mengelakkan kejadian yang lebih parah berlaku sehingga mungkin mendatangkan kecederaan fizikal,” katanya.

Tambah Zulqarnain, satu kata sepakat perlu dibuat antara agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab seperti pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengambil tindakan bagi mengekang gejala yang tidak sihat ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas