Berita

Audit : Prestasi zon guna tanah di KL tidak selaras PBRKL 2020

- Diterbit 28 September 2021 7:30 AM MYT

PRESTASI  zon guna tanah melibatkan kawasan di ibu negara pada tahun lepas didapati tidak tercapai sepenuhnya seperti ditetapkan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020 yang diwartakan pada 30 Okt 2018.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2, perkara itu antara lain disebabkan pelan tersebut lewat diwartakan iaitu tujuh tahun daripada cadangan asal.

“PBRKL 2020 hanya diwartakan kurang dua tahun sebelum 2020 berakhir. Perkara ini menyebabkan berlaku perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan tidak selaras dengan PBRKL 2020 yang diwartakan.

“Kuasa diperuntukkan di bawah Seksyen 22 (1) Akta 267 membolehkan Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan PBRKL 2020,” menurut laporan audit itu yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar serta pertambahan kepadatan selain berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat dan kesesakan lalu lintas.

“Risiko penukaran zon guna tanah juga adalah lebih tinggi jika kawasan lapang awam tidak diwartakan mengikut Kanun Tanah Negara 1965,” menurut laporan itu.

Jelasnya, terdapat peningkatan penggunaan tanah untuk kegunaan aktiviti perdagangan dan pembangunan bercampur manakala pengurangan untuk kegunaan kediaman, industri dan industri khas, institusi, kawasan hijau serta kegunaan lain.

Beberapa kelemahan lain dinyatakan termasuk terdapat tanah kerajaan dan tanah Datuk Bandar dijual kepada pihak ketiga oleh pemaju selain wujud percanggahan kepentingan dalam urus niaga penjualan tanah.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memperincikan kaedah serahan 640 unit rumah gantian dalam perjanjian yang ditandatangani, mengakibatkan sejumlah RM59.25 juta telah dibelanjakan oleh DBKL untuk membeli 395 unit Residensi Razakmas 2,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu, pihak Audit mengesyorkan agar DBKL serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) memastikan penyelarasan dibuat antara syarat nyata tanah dan zon guna tanah supaya pelaksanaan perancangan bandar menjadi teratur.

“DBKL hendaklah mewujudkan mekanisme kawalan dalaman supaya tanah yang telah dijual kepada pihak ketiga tidak disalah guna dan bertentangan dengan tujuan asal penjualan,” katanya.

Laporan turut mengesyorkan agar PTGWPKL dan DBKL mempertimbangkan pengesyoran agensi teknikal supaya kelestarian antara pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar terpelihara selain menyegerakan pewartaan tanah lapang awam bagi mengurangkan risiko lot itu diberi milik untuk tujuan pembangunan. – BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas