Berita

Audit forensik dedah NAFAS rugi RM50 juta akibat salah laku tadbir

PHAHROLRAZI (tengah) pada sidang akhbar mengenai hasil audit forensik NAFAS di Kota Damansara, Petaling Jaya petang tadi.
- Diterbit 21 Februari 2020 1:09 PM MYT

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dikesan mengalami kerugian RM50 juta akibat salah laku tadbir urus sebelum ini.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, kerugian itu hasil audit forensik terhadap tujuh projek oleh firma audit terkenal antarabangsa bermula Mei hingga September tahun lalu.

“Kita mengakui terdapat banyak kesalahan dilakukan oleh AJP NAFAS yang telah digantung tugas pada Jun 2018.

“Ini memberikan kesan tanggungan dan bebanan yang besar terhadap satu juta ahli yang berdaftar di bawah NAFAS,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat NAFAS di sini hari ini.

Phahrolrazi memberitahu, antara projek terlibat termasuk pembelian baja 40 tan metrik tanpa mengikut prosedur biasa tiga tahun lalu yang mengakibatkan kerugian RM20 juta.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan NAFAS terpaksa menanggung kos simpanan stor baja sebanyak RM6 juta.

Selain itu, katanya, projek lain terlibat adalah pembelian ibu pejabat NAFAS pada tahun 2014 dengan harga RM59.8 juta walaupun tawaran asal pembelian berjumlah RM48.5 juta.

“Kita juga mendapati AJP terdahulu membuat pembelian secara tergesa-gesa terhadap ladang kelapa sawit di Sungai Karap, Miri, Sarawak dengan nilai RM135 juta berbanding penilaian dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mendapati nilai sebenarnya adalah RM122.8 juta.

“Akibatnya, ia telah membebankan NAFAS ketika ini yang terpaksa mengambil pinjaman bank bernilai RM100 juta dengan membayar lebih RM7 juta faedah hasil ladang itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan empat projek yang turut tersenarai adalah penjanjian pajakan Wisma Peladang, kecuaian pembelian stok, pengagihan zakat perniagaan NAFAS kepada penerima tidak layak dan konflik kepentingan di NAFAS Feedmills Sdn. Bhd.

“Justeru, kita telah memaklumkan kesalahan-kesalahan dalam projek tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan Peladang dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

“Dalam memastikan kecekapan dan mengelakkan ketirisan pada masa depan, kerjasama telah dilakukan dengan SPRM dalam menempatkan pegawainya di NAFAS dalam masa terdekat,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas