Berita

Asingkan bahan mudah terbakar

KEBAKARAN alat ganti kenderaan di Jalan Kampung Pasir, Segambut Kuala Lumpur dipadam menggunakan kaedah defensive dan offensive. KEBAKARAN alat ganti kenderaan di Jalan Kampung Pasir, Segambut Kuala
- Diterbit 26 November 2021 9:13 AM MYT

KEBAKARAN besar yang meragut puluhan nyawa bukanlah perkara asing di Malaysia.

Malah, beberapa insiden kebakaran ngeri pernah berlaku sejak pertengahan 70-an, sama ada berpunca daripada litar pintas, kecuaian mahupun bencana alam seperti disambar kilat.

Lokasi terjadinya kebakaran juga tidak dapat dijangka.

Ini kerana, berdasarkan laporan kejadian, kebakaran boleh berlaku di kawasan hutan mahupun dalam bangunan seperti kompleks beli belah dan premis alat ganti kenderaan.

Justeru, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, menyeru pemilik perniagaan mahupun premis melaksanakan konsep ‘good house keeping’.

“Ia penting bagi mengelakkan bahan mudah terbakar disambar api. Terutama kawasan melibatkan alat ganti kenderaan.

“Premis alat ganti kenderaan selalunya mempunyai minyak pelincir, minyak gear dan sebagainya di samping peralatan yang diperbuat daripada getah seperti tayar dan kusyen. Kesemua bahan mentah ini sukar dipadamkan menggunakan air,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebakaran yang berlaku di premis menjual alat ganti kereta terpakai di Jalan Kampung Pasir, Segambut Kuala Lumpur, pada Selasa.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu, mengakibatkan premis seluas 40,000 kaki persegi terbakar hampir 90 peratus.

Menurut Nor Hisham, anggota bomba perlu menggunakan elemen khas iaitu buih pemadaman (fire fighting foam) bagi memadam api yang melibatkan minyak dan getah.

Oleh itu, katanya, bagi mengatasi kesukaran pemadaman serta mengurangkan kesan kebakaran, kaedah terbaik yang boleh dilakukan pemilik perniagaan adalah dengan mengasingkan bahan mudah terbakar serta menyimpannya dengan lebih teliti.

Tambah beliau, JBPM memandang serius tahap keselamatan dan ketika memberi pelesenan premis, pihaknya mensyaratkan tambahan alat pemadam api bagi membolehkan tindakan awal pemadaman dilakukan pemilik. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas