Berita

Asia’s Kids Star erat hubungan Malaysia-China

|DATUK Azlie Halim (Kanan) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Mazlan Goh.|ASIA’S Kids Star yang menjadi pentas impian untuk kanak-kanak menampilkan bakat mereka.||
- Diterbit 30 Mei 2022 12:18 PM MYT

Bagi mengeratkan hubungan Malaysia dan China, satu pertandingan dikenali Asia’s Kids Star yang diadakan buat kali kedua (kali pertama pada tahun 2021) sebagai jambatan kebudayaan antara Malaysia dan China.

Pertandingan itu yang diadakan sempena ulangtahun hubungan dialog China-ASEAN ke-31 dan Ulang tahun hubungan diplomatik China-Malaysia yang ke-48, adalah satu pertandingan rasmi pertukaran budaya antara Malaysia dan China.

Asia’s Kids Stars diadakan dengan kerjasama sebuah syarikat di Malaysia, NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd. dan syarikat dari China, Dou Kou International Media Co. Limited turut sama ialah China Beijing Qianyu Culture Media dan CIC Global Sdn. Bhd. dalam usaha sebagai platform antarabangsa untuk pertukaran seni budaya untuk kanak-kanak berumur antara tiga tahun hingga 16 tahun di Asia dan seluruh dunia.

DATUK Azlie Halim (Kanan) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Mazlan Goh.

Dalam masa yang sama, Asia’s Kids Star yang menjadi pentas impian untuk kanak-kanak menampilkan bakat mereka disertai oleh sekumpulan kanak-kanak terpilih dari Malaysia dan China yang mempersembahkan beberapa tarian tradisional negara masing-masing melalui lagu tema pertandingan ini iaitu Light Chase.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Antarabangsa pertandingan ini yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah NCQQ, Mazlan Goh Ahmad Goh ditemui pada Jumaat lalu di pejabatnya di Petaling Jaya.

“Melalui pertandingan ini kanak-kanak yang merupakan tonggak masa depan negara bukan sahaja mampu mengejar impian malah dapat mempromosikan seni dan budaya asli bukan sahaja ke Asia malah ke seluruh dunia.

“Saya yakin dengan ini secara tidak langsung ia dapat membantu industri pelancongan, ekonomi dan fesyen kerana kebudayaan Malaysia mempunyai daya tarikannya yang tersendiri,” katanya.

ASIA’S Kids Star yang menjadi pentas impian untuk kanak-kanak menampilkan bakat mereka.

Menurut beliau lagi, kini siri Asia’s Kids Star iaitu ‘Awakening of Dance Souls’, Pertandingan Tarian Kanak-Kanak Antarabangsa, ‘Comprehensive Talent Contest’ (Pertandingan Bakat) dan ‘Film Art Independent Space Exhibition’ serta Pertandingan Seni Kanak-Kanak Antarabangsa masih berlangsung dan mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, acara hebat ini telah memasukki peringkat uji bakat dan pendaftaran dilakukan secara dalam talian dan para peserta yang berminat hanya perlu memuat naik video ke facebook: NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd.

Mazlan Goh berkata, apa yang membanggakan acara berprestij yang menampilkan kepelbagaian budaya ini bukan sahaja menarik minat kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia malah ia turut disertai ramai kanak-kanak dari Singapura, Sweden, New Zealand, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.

Beliau yakin meskipun para pesertanya berbeza warna kulit, bangsa dan bahasa namun ia mampu menanam semangat yang sama untuk mencapai impian dan cita-cita mereka bersandarkan lagu tema “Light Chaser” hasil ciptaan pemuzik dari empat negara berbeza yang diketuai oleh Li Guanghong dari Chin diikuti pemuzik dari Taiwan, Filipina dan penyanyi juga penulis lagu China iaitu A BEN, Kent dan Li Guowei.

Sebagai destinasi acara di luar negara, Kuala Lumpur akan mengadakan rakaman program CCTV di Megastar Arena pada 16 Julai ini. Manakala kanak-kanak di China akan menjalani rakaman di Hengdian World Studio.

Program ini akan disiarkan di Saluran Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Xinying dari CCTV pada cuti Hari Kebangsaan China.

Beliau memberitahu program ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Terdahulu, baru-baru ini telah diadakan sidang akhbar mengenai pertandingan ini di Pawagam Mini P. Ramlee di FINAS yang dihadiri oleh Timbalan Presiden Pelancongan Malaysia, Prof. Datuk Azlie Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Syirfan Indra Mitra Surya, Penolong Pengarah Kanan/ Ketua Seksyen Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Wan Zumaiza Wan Mustapha.

Bukan itu sahaja, turut hadir ialah Pengarah Bahagian Seni Budaya JKKN, Ruhani Mamat dan Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Datin Dorph Peng Wen Yin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas